Cari @ Amanz

Poco adalah sub-jenama dari Xiaomi yang memastikan harga jualan peranti adalah lebih mampu milik dengan jenama Xiaomi sendiri. Ia mula mencipta nama selepas melancarkan Poco F1, iaitu sebuah pembunuh peranti mercu. Lama-kelamaan, jenama Poco ini menjadi seperti jenama peranti lain sahaja yang lari dari idea asal dan melancarkan pelbagai peranti.

Poco X2 adalah peranti kelas pertangahan mereka, Poco M2 Pro, Poco M2 dan turut mempunyai Poco X3. Kesemua peranti ini dilancarkan pada tahun ini. Selepas setahun menyepi, mereka terus menjadi jenama yang “besar”. Walaupun banyak peranti mereka meminjam rekaan dan spesifikasi dari Redmi – Poco X3 adalah antara peranti asli mereka. Terkini, mereka hadir dengan Poco M3 pula. Poco M3 adalah sebuah peranti dengan rekaan asli Poco dan kami di Amanz berpeluang mencuba peranti ini.


Spesifikasi Dan Rekaan

Poco M3
Skrin6.53″ DotDisplay, LCD, FHD+, 60Hz
PemprosesSnapdragon 662 (11nm)
Cip1 X 3.13 GHz Cortex A77
3 X 2.54 GHz Cortex A77
4 X 2.05 GHz Cortex A55
Cip GrafikAdreno 610
RAM4 Gigabyte
Muatan Dalaman64/128 GB (microSD 512GB)
Kamera Utama48+2+2 Megapixel.
f/1.79+f/2.4+f/2.4
Kamera Depan13 Megapixel f/2.4, 4K 60p
Bateri6000mAh
Pengecasan berwayar 22.5W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano
NFCTiada
Infra MerahYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas cap jari di sisi
Harga JualanRM499

Poco M3 ini boleh dikatakan adalah sebuah peranti kelas asas generasi baru. Kami nilaikannya sebegini kerana prestasi peranti ini yang dilihat tidak begitu baik. Unit yang kami terima mempunyai memori 4GB RAM dan storan dalaman 128GB. Storan itu sudah baik, tetapi 4GB RAM pada hemat kami amat rendah untuk sesebuah peranti Android.

Peranti ini turut mempunyai bateri 6000mAh yang gila besar dan menggunakan USB-C. Amat berpuas hati apabila peranti dalam kelas ini menggunakan USB-C dan bukannya microUSB. Peranti ini turut mengekalkan pengguna sensor infra-merah dan masih mempunyai port bicu audio. Perkara yang membuatkan peranti ini tertarik adalah rekaannya, iaitu bonggol kamera yang besar seakan OnePlus 8T Cyberpunk 2077.

Panel belakang adalah plastik dengan tekstur seakan kulit. Sisi kiri peranti hanya ada slot kad SIM dan sisi kanan pula adalah butang aras suara dan butang kuasa yang turut mempunyai pengimbas cap jari terbina. Di bawah hanya ada kekisi pembesar suara, lubang mikrofon dan port USB-C. Di atas ada lagi kekisi pembesar suara, sensor IR dan bicu audio. Kerangka peranti tidak pasti apakah bahannya, ia terasa kukuh. Mungkin logam?

Pengalaman Penggunaan

Peranti ini sejuru sahaja dikeluarkan dari kotak, kami log masuk akaun Google dan pasang beberapa aplikasi. Dalam penggunaan awal, peranti ini mempunyai masalah prestasi yang sangat serius. Skrin peranti tidak boleh disentuh apabila skrin peranti dikunci, lengah masa yang berlaku pada skrin utama dan talam aplikasi serta peralihan animasi yang amat perlahan.

Menatal skrin peranti ini sudah terasa berat dan membuatkan kami terasa sedikit tertekan. Membuka, menutup atau menukar ke aplikasi lain turut mengambil masa yang lama. Ia membuatkan kami rasa peranti ini seakan tidak boleh digunakan langsung. Selepas mematikan dan menghidupkan semula peranti, barulah ia beroperasi seperti sebuah peranti yang normal. Tetapi itu pun masih terasa perlahan.

Skrin peranti ini adalah LCD dan masih ada masalah kesan bayang-bayang di bawah takuk dan di dagu. Tetapi, warna skrin peranti ini kelihatan begitu baik. Malah dalam cubaan menonton video HDR di YouTube, peranti ini mempunyai sokongan 1080p 60FPS. Warna video juga kelihatan cukup cerah dan cantik, butiran jelas dan terang serta warna hitam yang cukup gelap dan dalam. Menjadikan pengalaman penggunaan peranti ini lebih menarik adalah, ia mempunyai sistem pembesar suara stereo.

Pembesar suara peranti ini cukup kuat dan enak untuk kelasnya. Kami tidak boleh beri komen yang lebih negatif ini kerana tidak banyak peranti dalam kelas ini mempunyai penawaran sebegini.

Peranti ini masih lagi menjalankan Android 10 dengan MIUI 12 for Poco. Tetapi kami kurang gemar dengan MIUI ini, kerana terasa begitu asas dan tidak lengkap berbanding dengan MIUI asal yang digunakan pada peranti Xiaomi atau Redmi. Kami rasakan pengoptimasian pada peranti ini tidak cukup baik, begitu juga pengurusan memorinya.

Skor Tanda Aras

Snapdragon 662 walaupun adalah cip untuk peranti kelas pertengahan, tetapi peranti ini terasa seakan kelas asas sahaja. Mungkin kerana memori yang rendah atau ada masalah dari perisian yang Poco mungkin boleh baiki melalui kemaskini.

AnTuTu mencatatkan skor sebanyak 185,061, manakala Geekbench 5 pula adalah 316/1355 untuk satu teras dan multi-teras. Ini adalah skor yang rendah dan yang dijangka sesuai dengan spesifikasi peranti. Kami masih tidak berpuas hati dengan prestasi peranti ini sehinggakan kami risau untuk mencuba bermain permua kerana takut akan ada masalah sistem tergendala. Kami akan uji kebolehan lain dari segi prestasi dan kegunaan harian dalam ulasan yang menyusul nanti.

Kamera

Peranti ini mengunakan sistem kamera 48+2+2 Megapixel, iaitu utama + makro + sensor kedalaman dan kamera swafoto 8MP. Dalam percubaan ringkas ini, jika suasana tidak mempunyai cahaya yang mencukupi – hasil gambar akan menjadi teruk dan buruk. Tetapi dengan cahaya yang banyak, ia akan menjadi cukup baik. Malah, hasil mod potret dari kamera swafoto dilihat amat memuaskan untuk peranti sebegini.

Gambar dalam pejabat atau dalam suasana dalam rumah yang sedikit malap, fokus tidak begitu baik dan imej melalui pasca-proses yang melembutkan hasil imej. Tetapi gambar di luar kelihatan sedikit baik. Cuma, butiran tidak dipelihara.

Tetapi ini pun adalah sebuah peranti untuk kegunaan asas, jadi kualitinya boleh diterima dengan harga jualan. Kami akan uji dengan lebih banyak lagi kemampuan kamera ini dalam ulasan akan datang.

Kesimpulan

Untuk pendapat awal mengenai peranti ini, kami dapat simpulkan yang Poco M3 lebih sesuai dijadikan sebagai peranti untuk hiburan dan peranti sandaran sahaja. Dengan bateri yang besar, kami yakin ia boleh bertahan sekitar dua hari atau lebih dengan SOT beberapa belas jam.

Jika anda mempunyai peranti utama yang bermasalah atau sedang menuntut jaminan, peranti ini boleh jadikan peranti WhatsApp, layan filem atau muzik sementara menanti peranti utama siap dibaiki. Bagi pengguna baru yang ingin mencari sebuah peranti asas, Poco M3 ini sesuai dijadikan hadiah kepada anak-anak kecil atau orang-orang tua. Harga jualan adalah, yang mana

Poco M3 adalah sebuah peranti kelas pertengahan asas dengan spesifikasi atas kertas menarik. Tetapi sayangnya, dalam tempoh percubaan ringkas kami ini – ia tidak memuaskan dan memberikan pengalaman yang mengecewakan.

Pro

  • Skrin LCD yang cukup cantik.
  • Pembesar suara stereo.
  • Bateri besar dan USB-C.

Kontra

  • Prestasi yang perlahan.
  • Bonggol kamera besar.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd