Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Note20 telah dilancarkan sekitar Ogos lalu dengan sejumlah penambahbaikan menarik termasuk kemampuan kamera yang lebih baik berbanding pendahulunya. DxoMark kini telah mengeluarkan laporan untuk kualiti kameranya dan ia dilihat berjaya merangkul markah keseluruhan sebanyak 120 mata.

Kutipan markah ini memposisikan Samsung Galaxy Note20 seiring dengan Google Pixel 5 dan Redmi K30 Pro Zoom Edition. Tetapi, berada setapak di belakang Huawei Mate 30 Pro. Untuk ringkasan ujian, peranti pintar ini dilihat menerima 123 mata untuk keupayaan kamera, 74 mata untuk keupayaan zum dan 105 mata pula untuk kemampuan video.

Pujian diberikan kepada kemampuan kamera mengambil gambar dengan keperincian pada objek memuaskan dalam beberapa situasi, julat dinamik yang tinggi dan penstabilan video yang efektif. Kritikan pula diberikan kepada kemampuan zum malam kurang memuaskan dan terdapat sedikit ketidakstabilan pada autofokus untuk rakaman videonya.

Di Malaysia, Samsung Galaxy Note20 4G dijual pada harga RM3899, Galaxy Note20 5G pula pada harga RM4299 dan akhir sekali Galaxy Note20 Ultra dijual pada harga RM5199. Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkannya menerusi beberapa platform berbeza termasuk kedai rasmi atas talian Samsung.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd