Sebelum ini kami pernah melaporkan bahawa NVIDIA telah dilihat sedang menguji siri kad grafik generasi Ampere mereka untuk komputer riba, yang dijangka akan diperlihatkan seawal Januari 2021, mungkin di acara Consumer Electronics Show.
Terkini, WCCFTech telah melaporkan bahawa siri kad grafik tersebut, yang dinamakan NVIDIA GeForce RTX 3000 Mobility akan diperlihatkan pada bulan Januari kelak.
Menurut laporan mereka, NVIDIA akan memperlihatkan kehadiran tiga kad grafik untuk komputer riba gaming, termasuklah NVIDIA GeForce RTX 3080, GeForce RTX 3070 dan RTX 3060. Ini cukup menarik kerana setakat ini, hanya dua daripada tiga kad grafik yang diperkatakan ini sudahpun diketahui prestasinya.
Walaupun begitu, mengikut carta yang diberikan, kad grafik ini nampaknya menduduki kedudukan diantara RTX 2060 dan RTX 2070 keluaran NVIDIA sebelum ini. Ini menandakan kebolehannya untuk menggerakkan permainan-permainan video pada resolusi Full HD dengan sokongan untuk kadar segar semula yang tinggi.
WCCFTech mengatakan lagi bahawa walaupun kad-kad grafik ini akan diperlihatkan pada bulan Januari kelak, jenama pertama yang akan hadir dengan pilihan-pilihan cip grafik ini ialah ASUS dan MSI.
Ini akan diikuti jenama-jenama lain seperti Dell, GIGABYTE, Legion, Acer dan sebagainya di bulan-bulan akan datang untuk menyelarikan pelancaran bersama-sama dengan siri CPU komputer riba terbaru keluaran AMD dan Intel.