Persekitaran waktu jalan aplikasi dalam Android sejak Android KitKat lagi adalah Android Runtime atau nama lainnya adalah ART. Sebelum ini, Google menggunakan sistem Dalvik (DVM). Keputusan menggunakan ART ini adalah kerana sistemnya yang lebih pantas dan efisien. Secara asasnya, ART adalah platform di mana aplikasi atau sistem Android berjalan, berbanding Dalvik sebelum ini yang menggunakan konsep mesin maya.
Selama ini, ART dibina terus di dalam kod Android iaitu AOSP. Dengan pengenalan Project Mainline, kod-kod dalam Android ini dipecahkan menjadi modul untuk kemaskini yang lebih pantas. Apabila bercakap mengenai kemaskini, pengeluar peranti yang akan menguruskan kemaskini ini dan bukannya Google. Tetapi kelak, ART akan dipecahkan menjadi modul juga bermula dengan Android 12.
Dengan menjadikan ART sebagai modul yang berasingan, Google akan mempunyai lebih kawalan terhadapnya. Ini bermakna, pengeluar peranti tidak perlu melakukan sebarang modifikasi untuk aplikasi-aplikasi berjalan pada peranti mereka. Sebaliknya, Google mungkin boleh terus berikan kemaskini ini melalui Play Store sahaja.
Bukan itu sahaja, melalui Project Mainline dan modul ART ini juga, saiz kemaskini sistem akan menjadi lebih kecil, masa muat turun adalah lebih pantas dan kemaskini keseluruhan sistem operasi tidak lagi diperlukan untuk ART. Pembangun atau pengeluar peranti boleh terus fokus ke bahagian lain sahaja.