Google Assistant Pada Jam Fitbit Beroperasi Lebih Baik Dari Jam Wear OS

Diterbitkan pada Nov 26, 2020. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jam tangan pintar kini ada banyak pilihan. Dari yang asas seperti penjejak kesihatan dalam bentuk jam sehinggalah jam seperti Wear OS atau watchOS. Jam tangan pintar seperti Fitbit Sense dan Fitbit Versa 3 adalah antara yang berada dalam generasi baru. Ia tidak mempunyai sistem operasi serba lengkap seperti Galaxy Watch, jam-jam Wear OS atau Apple Watch.

Terkini, Fitbit Sense dan Fitbit Versa 3 menerima kemaskini di mana Google Assistant boleh digunakan di dalam jam ini sebagai pembantu digital pengguna. Menariknya, menurut 9to5Google prestasi Google Assistant dalam Fitbit Sense adalah jauh lebih baik daripada jam-jam Wear OS. Memang benar, Fitbit kini hampir dimiliki oleh Google. Tetapi Wear OS adalah produk utama Google dan mempunyai prestasi Google Assistant yang sangat lemah.

Buat masa ini, beberapa laporan menyatakan hanya TicWatch Pro 3 sahaja yang dijana Snapdragon Wear 4100 adalah jam Wear OS terbaik dan lain daripada yang lain. Tetapi di pasaran, masih dibanjiri dengan jam Wear OS yang dijana Snapdragon Wear 3100, malah masih ada yang menjual versi yang dijana Snapdragon Wear 2100.

Walaupun begitu, Google Assistant pada jam Fitbit ini hanya sekadar aplikasi dan tidak diintegrasi dalam sistem seperti peranti Android atau jam Wear OS. Walaupun ia boleh digunakan dengan lebih baik, lebih pantas dan arahan suara dapat ditangkap dengan baik – antaramukanya hanyalah ikon Google Assistant dan latar belakang berwarna hitam berserta teks arahan dan jawapan dari Google.

Harapnya, jika Google boleh bawakan prestasi pantas ini pada jam bukan Wear OS – Wear OS kelak akan mempunyai kemampuan Google Assistant yang lebih baik. Buat masa ini, Google Assistant untuk jam Fitbit hanya diedarkan kepada Fitbit Sense dan Fitbit Versa 3 terlebih dahulu.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami