iPhone 12 adalah pengganti kepada iPhone 11. Tetapi ramai risau dengan ketahanan bateri atau saiz yang lebih kecil. Jawapan Apple adalah, cip A14 Bionic menggunakan rekaan 5nm dan ianya lebih efisien – jadi ia akan memberikan pengalaman yang lebih baik. Saya turut menguji prestasi peranti ini dan membandingkan dengan peranti-peranti Android lain – iPhone 12 dan ke atas tiada pencabar dari segi skor AnTuTu.
Tetapi skor AnTuTu hanyalah nombor semata-mata. Bagaimanakah pengalaman penggunaan sebenar jika menjadikan iPhone 12 ini sebagai peranti harian? Saya telah menggunakan iPhone 12 sebagai peranti harian sejak ia dilancarkan di Malaysia. Saya amat berpuas hati dengan peranti ini dan sepanjang pengalaman menggunakan iPhone SE, iPhone 7, iPhone 8, iPhone XS dan iPhone SE 2 – iPhone 12 membuatkan saya rasa benar-benar gembira.
Spesifikasi Dan Rekaan
iPhone 12 | |
---|---|
Skrin | 6.1″Super XDR Retina OLED, 1170 x 2532, 60Hz, HDR10 |
Pemproses | Apple A14 Bionic 5nm |
Cip | 2 x 3.1 GHz Firestorm 4 x 1.8 GHz Icestorm |
Cip Grafik | GPU Tersendiri |
RAM | 4 GB |
Muatan Dalaman | 64/128/256 GB NVMe |
Kamera Utama | 12 + 12 Megapixel f/1.6 + f/2.4 Utama, Ultra Lebar |
Kamera Swafoto | 12 Megapixel f/2.2 |
Bateri | 2815 mAh Pengecasan berwayar 20W (PD) Pengecasan MagSafe 15W Pengecasan Nirwayar 7.5W (Qi) |
SIM/Telefoni | Nano + eSIM & 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP68 6 Meter 30 Minit |
Sistem Imbasan | Face ID |
Harga Jualan | RM3,899/RM4,099/RM4,599 |
Perkara pertama yang membuatkan saya jatuh cinta dengan iPhone 12 ini adalah rekaannya. Sudah bertahun lamanya, peranti Android dan iPhone menggunakan rekabentuk yang lebih kurang sama. Rekaan berkotak seperti ini memberikan satu perasaan yang berbeza. Pada awal terasa sangat pelik di tangan, tetapi lama kelamaan ia menjadi selesa dan saya rasakan ini adalah rekaan klasik yang segar.
Skrin iPhone 12 ini menggunakan panel OLED, berbeza dengan iPhone 11 sebelum ini yang menggunakan LCD. Walaupun pilihan OLED itu sudah baik, Apple masih berdegil dengan takuk yang besar dan lebar untuk memuatkan kamera swafoto, sensor-sensor dan Face ID. Penggunaan takuk besar ini membuatkan skrin iPhone ini rasa bosan dan membazir ruang sahaja. Tetapi disebabkan ia adalah rata, saya terpaksa biasakan diri dan redha sahaja kewujudan takuk ini.
Di sisi kanan peranti hanya mempunyai butang kuasa, siri kiri adalah butang aras suara, butang notifikasi dan juga slot kad SIM. Di atas tiada apa-apa, di bawah ada port lightning dan kekisi pembesar suara dan akhir sekali di belakang adalah modul kamera segi empat yang masih sama dengan iPhone 11.
Bahan binaan pula adalah aluminium untuk kerangka dan kaca di hadapan dan di belakang. Kemasan binaan ini dilihat agak baik, tetapi penggunaan aluminium mungkin tidak begitu baik. Tanpa sedari, iPhone 12 saya sudah ada kesan kemek berbanding Pixel 4 XL yang saya kerap campak ke dalam beg yang penuh dengan kunci dan syiling. Tetapi menariknya, kemasan aluminium ini adalah pusam dan ia memberikan cengkaman yang cukup baik. Unit kami berwarna putih, jadi kesan kotoran cap jari di panel belakang tidak kelihatan.
Pengalaman Penggunaan
iPhone 12 ini memberikan satu kepuasan yang tidak pernah saya rasa. Cip Apple A14 Bionic ini memang lain daripada yang lain. Cip ini adalah cip enam teras dan dipadankan dengan memori 4GB RAM serta storan dalaman yang mencapai sehingga 512GB. Sepanjang menggunakan peranti ini, langsung tiada masalah lengah masa yang saya hadapi. Tidak kira berapa banyak aplikasi yang dibuka, bertukar-tukar antara aplikasi adalah pantas dan lancar.
Peralihan animasi juga dilihat baik sekali dan rasa memuaskan. Menatal skrin tidak kira di mana arah adalah laju. Sedikit mengecewakan sudah berzaman Android menyertakan fungsi multi-tugasan, iPhone masih tiada. Jadi jika buka banyak aplikasi boleh tetapi tidak boleh menjalankan dua aplikasi serentak pada hemat saya itu adalah satu kelemahan.
Bermain permua pada peranti ini juga sungguh seronok. Saya adalah seorang yang jarang bermain permua pada telefon pintar. Tetapi saya menjadikan iPhone 12 ini seakan peranti gaming saya sendiri kerana bermain Asphalt 9 dan PUBG Mobile pada tetapan tinggi tiada masalah. Langsung tiada masalah memanas yang serius, sistem tergendala atau lengah masa. Malah apabila bermain permua dan saya jeda untuk membuka WhatsApp seketika juga mudah dilakukan.
Sebagai pengguna yang sudah biasa dengan peranti Android yang menggunakan skrin kadar segar semula tinggi, saya berasa was-was apabila ingin menggunakan iPhone 12 ini. Ini kerana Apple masih berdegil dan menggunakan skrin 60Hz sahaja. Disebabkan kadar respon sentuhan pada peranti ini tinggi, ia membuatkan aktiviti sentuhan cukup laju dan saya langsung tidak merindui peranti yang menyokong 90Hz atau 120Hz.
Bercakap mengenai skrin lagi, OLED pada peranti ini adalah antara yang baik dari segi paparan warna. Ia menyokong Dolby Vision HDR, True Tone dan gamut warna yang lebar. Saiz 6.1-inci ini walaupun terasa kecil di tangan saya yang besar ini – ia masih memberikan pengalaman menonton video yang baik. Cuma apabila di bawah cahaya matahari, skrin peranti ini begitu malap dan membuatkan saya rasa tidak puas hati dengan skrin peranti ini.
OLED tetap OLED dan warna hitam adalah cukup gelap dan dalam pada peranti ini. warna yang dihasilkan adalah cantik, butiran yang jelas serta skrin yang rata ini tidak mengganggu penggunaan harian saya.
Antaramuka
Untuk seseorang yang sudah biasa menggunakan banyak peranti Android, perkara yang saya rindu yang tiada dalam iPhone 12 ini adalah kebebasan kustomasi. iOS 14 walaupun sudah ada sokongan menyorokkan aplikasi, talam aplikasi dan widget – ia masih lagi terhad. Pilihan kustomasi iOS 14 ini adalah seperti zaman Android generasi lama, lagi-lagi di bahagian ikon. Pengguna bebas mengubah ikon dengan menggunakan aplikasi Shortcut dan banyak lagi aplikasi pihak ketiga yang lain.
Widget di dalam iOS 14 ini pada hemat saya adalah penggunaan widget yang terbaik. Ia seakan Windows Phone sedikit kerana saiz widget yang boleh diubah kepada tiga saiz berbeza. Dengan skrin yang lebih luas, iPhone 12 ini akan memaparkan skrin utama yang kemas dan kelihatan cantik sentiasa. Buat masa ini masih banyak aplikasi yang tiada sokongan widget, tetapi aplikasi yang saya sendiri kerap pakai seperti Spotify, Apple TV, Spark semuanya sudah tersedia.
Seperti Android, iOS 14 turut menyokong mod tema gelap dan dengan skrin OLED penggunaan tema ini akan menjimatkan lagi bateri peranti. iOS 14 ini begitu ringkas dan kadangkala ketika saya berasa bosan, iOS 14 ini membuatkan saya rasa bertambah bosan kerana tidak banyak yang boleh digodek. Perkara yang paling saya menyampah adalah, tetapan aplikasi perlu pergi ke tetapan dan mencari aplikasi itu terus. Ia tidak boleh diakses pada skrin utama.
iPhone XS adalah iPhone dengan Face ID terakhir ada 3D Touch. Penggunaan tekan dan tahan pada skrin terasa seperti menggunakan Android dan kurang menarik apabila tidak boleh tekan dan tahan lebih lama untuk akses pintas fungsi lain. Jadi apabila menggunakan peranti ini yang ada skrin besar membuatkan saya rindu dengan fungsi tersebut. iPhone SE2 yang saya gunakan sebelum ini skrinnya kecil, jadi saya tidak hiraukan langsung kewujudan fungsi tadi.
Penanda Aras
Skor tanda aras pada iPhone 12 ini diperoleh melalui AnTuTu dan Geekbench 5. AnTuTu mencatatkan skor keseluruhan 641,724, yang mana adalah antara skor tertinggi. Jika dibandingkan dengan peranti Android, Asus ROG Phone 3 adalah satu-satunya peranti yang boleh mencapai nilai 600K. Itu pun 16GB RAM vs 4GB RAM.
Di AnTuTu ia turut mencatatkan skor CPU yang tinggi iaitu 182,294 dan skor GPU 246,917. Cip 5nm terbukti cukup hebat dan berkuasa untuk sesebuah peranti mercu. Harapnya kelak peranti Android dengan Snapdragon 875 atau Exynos 2100 mempunyai skor yang lebih baik. Atau jika ingin kalahkan iPhone 12 kelak peranti yang dijana dengan Exynos 1080 iaitu kelas pertengahan pasti akan mencipta sejarah baru.
Geekbench 5 pula mencatatkan skor 1606/4138 untuk satu teras dan multi-teras. Ini juga adalah skor yang sangat tinggi kerana peranti Android biasanya terhad di kadar 1000/3000 ke bawah sahaja.
Perlu diingatkan, saya rasa seronok dengan skor ini kerana ia padan dengan pengalaman penggunaan harian saya. Benar, skor penanda aras adalah nombor semata-mata dan penggunaan sebenar adalah lebih penting. Disebabkan saya tiada isu serius sepanjang menggunakan peranti ini, saya amat berpuas hati dengannya.
Telefoni Dan GPS
iPhone 12 adalah iPhone pertama dengan sokongan 5G. Tetapi disebabkan di Malaysia tiada sokongan 5G, jangan beli iPhone-iPhone 12 kerana 5G. Walaupun begitu, penggunaan data mudah alih 4G pada peranti ini adalah cukup baik. Pencarian isyarat adalah pantas, tiada masalah 4G yang turun menjadi 3G serta penggunaan voLTE yang baik sekali dengan Maxis.
Membuat panggilan telefon juga adalah cukup jelas. Tetapi apabila peranti berada di telinga ia terasa sedikit pelik. Ia ada satu perasaan yang tidak selesa yang sukar untuk saya jelaskan. Tetapi mikrofon iPhone 12 ini cukup baik dan jika anda perlu membuat panggilan telefon dalam tempoh yang lama, iPhone 12 ini adalah peranti yang baik.
Penggunaan GPS juga laju dan aplikasi Google Maps mengunci lokasi dengan tepat sekali. Saya cuba beralih ke ekosistem Apple sepenuhnya dengan menggunakan Apple Maps, tetapi aplikasi peta ini terlampau dungu membuatkan saya mudah sesat.
Kamera
Hanya sistem dwi-kamera digunakan dan tiada sebarang kensa gimik atau sensor tambahan yang tidak diperlukan. Apple sudah bekajar apa yang Google lakukan, iaitu kedukut dari segi perkakasan tetapi perisian biar hebat. Antaramuka aplikasi kamera juga ringkas dan mudah maham. Untuk bahagian zum, ia hanya mneyokong secara digital dengan zum di tahap 5x. Lain-lain adalah 1x dan 0.5x.
Kekurangan yang saya temui pada iPhone 12 ini adalah, aplikasi kamera tidak menyokong mod malam secara manual dan hanya akan muncul secara automatik.
iPhone sehingga hari ini terkenal dengan hasil gambar yang realisitik, warna yang cantik, butiran yang dipelihara dengan baik serta mempunyai peralihan lensa yang baik antara lensa utama ke lensa sudut ultra lebar. Imej yang dihasilkan cukup tajam, tiada masalah fokus dan yang paling penting pasca-proses adalah sepantas kilat. Masalah pemanasan ketika mengambil foto juga tiada. iPhone mengekalkan tradisi mereka dalam kemampuan fotografi natural serta menyeronokkan.
Rakaman video adalah kekuatan pada iPhone 12 ini. Ia menyokong rakaman video Dolby Vision HDR. Bukan itu sahaja, walaupun tiada Sensor-Shift pada peranti ini seperti yang ada pada iPhone 12 Pro Max, rakaman video pada iPhone 12 masih cukup stabil. Tidak banyak peranti mercu Android yang menggunakan sistem dwi-kamera dan mempunyai fotografi atau videografi sebaik iPhone. Walapun Google memanggil Pixel 5 itu peranti mercu mereka, hakikatnya ia hanyalah sebuah peranti kelas pertengahan yang terlebih mahal. Tetapi merakam video akan membuatkan peranti sedikit memanas sehingga membuatkan anda ingin menggunakan kerangka atau terus tidak menyentuh peranti ini.
Kemampuan potret dalam iPhone dilihat masih tidak sebaik peranti-peranti Android, lagi-lagi Pixel. Tetapi hasilnya adalah hasil yang membuatkan anda rasa ianya baik-baik sahaja dan tidak akan rasa kecewa pun. Tidak lagi terhad kepada manusia, tetapi mengambil gambar objek seperti minuman dengan straw, straw tersebut tidak dapat diasingkan dan tetap akan dikaburkan.
Kamera swafoto juga mengejutkan cukup memuaskan. Ia ada pilihan biasa dan pemandangan yang lebih luas. Jadi jika ingin berswafoto beramai-ramai, ia tidak akan menjadi masalah. Hasilnya juga tidak kira biasa atau potret memelihara butiran dengan baik dan turut mempunyai hasil warna yang tajam.
Imej sudut ultra lebar juga adalah antara yang terbaik pada iPhone. Dengan sains warna yang baik tidak seperti kebanyakan peranti pesaing, lensa utama warna lain dan lensa sudut ultra lebar pula lain. Hasil imej dengan pemandangan yang luas pada iPhone 12 ini pasti akan membuatkan anda terfikir, magis apa yang Apple gunakan untuk dapatkan hasil yang cantik sebegini. Tetapi, kesan herotan pada imej seperti ini masih tidak kemas dan hasil imej kelihatan melebar.
Audio
Sejak iPhone 7, Apple telah menggunakan sistem pembesar suara yang memuatkan satu pemacu audio di earpiece dan satu di bawah. Pembesar suara iPhone 12 ini, walaupun stereo dan tidak cukup kuat – ia tidak seimbang. Bahagian bawah adalah lebih kuat dari atas.
Kualiti audio cukup enak dan menarik. Ia mempunyai nilai bass yang mencukupi, ia terang dari bahagian vokal dan tidak bingit jika ada bunyi yang bising. Sistem aras suara pada iPhone bukanlah kegemaran saya dan setakat ini hanya peranti mercu Samsung sahaja pada hemat saya yang mempunyai sistem pembesar suara yang terbaik.
Bateri
Walaupun saiz bateri iPhone 12 adalah 2815mAh, iaitu lebih kecil dari iPhone 11 yang mempunyai kapasiti bateri 3110mAh – peranti ini masih mempunyai ketahanan bateri yang baik. Penggunaan cip 5nm dan skrin OLED banyak menyumbang dari penjimatan ini kerana kurang menggunakan kuasa. Sepanjang menggunakan iPhone 12 ini, jika digunakan secara ekstrem seperti NFC, Bluetooth, Hotspot, AirDrop, GPS dan WiFi, skrin kecerahan di tahap maksimum, aras suara 100%, banyak bermain permu dan banyak menggunakan aplikasi – iPhone 12 boleh bertahan sepanjang satu hari penuh.
Saya cas di waktu malam dan cabut di waktu Subuh, ketika itu sudah 100%. Penggunaan seperti yang saya nyatakan di atas memberika ketahanan sehingga 12 pagi dengan baki sekitar 5%-15%. Jika kurang menggunakan peranti, seperti di waktu kerja – saya akan ada baki bateri sekitar 10%-25%.
Masa skrin aktif pula (SOT) sedikit masalah, iOS perlu membuat kiraan manual yang mana sangat leceh. Cara mudah yang saya temui adalah pastikan bateri penuh pada 12 pagi dan gunakan seperti biasa. Tetapi SOT yang saya peroleh untuk penggunana ekstrem adalah 5-6 jam dan penggunaan bersahaja mencapai 7-8 jam SOT tanpa sebarang masalah.
Sokongon pengecasan pada peranti ini adalah 20W USB-PD yang mana pada hemat saya adalah perlahan. iPhone 12 masih mengambil masa pengecasan melebihi satu jam, sedangkan banyak peranti mercu Android sekarang kurang dari 45 minit. Pengecasan nirwayar MagSafe hanya dapat saya cuba dalam tempoh yang singkat – tetapi kuasa 15W masih lebih rendah. Jadi saya terpaksa bersyukur dengan kuasa 20W pengecasan berwayar.
Pesaing
Samsung Galaxy S20 FE | Apple iPhone 12 | OnePlus 8T |
6.5″ SAMOLED, FHD+, HDR10+, 120Hz (407 PPI) | 6.7″ OLED, 1170 x 2532, Dolby Vision, 60Hz (~460 ppi) | 6.55″ Fluid AMOLED, FHD+, HDR10+, 120Hz |
Snapdragon 865 (7nm) 1 X 2.84 GHz Kryo 585 3 X 2.42 GHz Kryo 585 1 X 1.80 GHz Kryo 585 | Apple 14 Bionic (5nm) 2 X 3.1 GHz Firestorm 4 X 1.8 GHz Icestorm | Snapdragon 865 (7nm) 1 X 2.84 GHz Kryo 585 3 X 2.42 GHz Kryo 585 1 X 1.80 GHz Kryo 585 |
Adreno 650 | Apple GPU | Adreno 650 |
8 Gigabyte LPDDR5 | 4 GB | 8/12 GB |
256 GB UFS 3.1 (1TB mikro SD) | 64/128/256 GB nVMe | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 12+8+12 Megapixel (f/1.8+f/2.0+f/2.2) | Kamera Utama 12+12 Megapixel (f/1.6+f/2.4) | Kamera Utama 48+16+5+2 Megapixel f/1.7+f/2.2+f/2.4+f/2.4 |
Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 12-Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.4 |
IP68 | IP68 | Tiada |
Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm |
Audio Stereo Dolby Atmos | Audio Stereo Dolby Atmos | Audio Stereo Dolby Atmos |
4500 mAh (Berwayar 25W, nirwayar 15W) | 2815mAh (Berwayar 20W, Nirwayar 15W) | 4500 mAh (Berwayar 65W) |
Harga RM3399 | Harga dari RM3899 | Harga dari RM2699 |
Kesimpulan
iPhone 12 ini tidak dinafikan adalah iPhone yang cukup berkuasa. Pada awal saya ingin menggunakan versi Pro, tetapi saya bukannya kerap mengambil gambar dan video jadi iPhone 12 sudah memadai. Selepas menggunakannya melebihi dua minggu, saya amat berpuas hati. Belum guna Pro lagi, jika tidak pasti saya akan menyertai kem Apple.
Tidak dinafikan yang iPhone 12 ini bukanlah peranti yang sempurna dan banyak kekurangannya jika dibandingkan dengan perantui mercu Android pernah saya gunakan. Cuma bagi yang tidak pernah menggunakan iPhone, jika anda cuba gunakan pasti anda akan suka dengan prestasinya, kamera serta skrin.
Paling mengekutkan adalah kamera yang sangat cantik dan ketahanan bateri yang sangat hebat. iPhone 12 ini adalah sebuah peranti mercu tanpa gimik, Apple sediakan apa yang pengguna pasti akan gunakan. Tiada lensa makro, sensor kedalaman, atau ciri-ciri tambahan yang semak. Sebaliknya ia adalah apa yang anda beli itu yang anda dapat dan anda akan pasti gembira.
iPhone terakhir saya gunakan sebelum iPhone 12 adalah iPhone SE dan peranti mercu Android yang sedang saya gunakan adalah Huawei P40 Pro+. Beralih ke iPhone 12 adalah pilihan bijak. Harga permulaan peranti ini adalah RM3,899. Agak mahal untuk permulaan storan 64GB sedangkan versi Pro bermula dengan 128GB. Model yang saya sarankan adalah 128GB dengan harga RM4,099. Ya, agak mahal tetapi ia adalah satu nilai yang membuatkan anda tidak menyesal dengan pembelian peranti ini.
Bagi mereka yang sedang menggunakan iPhone yang sudah bertahun lamanya seperti iPhone XS dan ke bawah atau peranti mercu Android seperti OnePlus 7T Pro ke bawah – anda akan rasakan betapa seronoknya menggunakan peranti ini. Ia sungguh indah dan buatkan diri saya rasa bahagia.
Pro
- Prestasi yang sangat pantas tanpa sebarang masalah
- Skrin OLED yang menyokong paparan Dolby Vision HDR
- Penggunaan skrin rata yang sangat baik
- Rekaan berkotak yang unik dan selesa
- Kamera 12MP yang cukup baik untuk peranti yang ada dua lensa
- Bateri yang tahan lama walaupun saiznya kecil
Kontra
- Skrin di bawah matahari yang malap
- Kualiti binaan agak lemah di bahagian kerangka
- Pembesar suara yang tidak seimbang
- Pengecasan hanya terhad kepada 20W berwayar
- iOS 14 masih terhad untuk membuat kustomasi
- Harga permulaan yang agak mahal