Carian
Redmi Note 9 Pro 5G Dilancarkan – Dikuasakan Snapdragon 750G, Skrin 120Hz, Kamera 108MP
November 26, 2020 Aman

Xiaomi hari ini telah melancarkan dua variasi Redmi Note dengan sokongan rangkaian 5G di China – sekaligus menawarkan telefon pintar dengan sokongan rangkaian 5G pada harga mampu-milik.

Menjadi fokus utama pada siri ini adalah Redmi Note 9 Pro 5G yang hadir dengan skrin 6.67-inci 120Hz LCD, berasaskan cip pemprosesan Snapdragon 750G, dilengkapi dengan pilihan memori 6GB RAM atau 8GB RAM, dan storan sehingga 256GB berasaskan UFS 2.2.

Melengkapkan telefon pintar ini juga adalah bateri 4820mAh dengan pengecasan berwayar 33W. Untuk rakaman gambar, ia menyertakan kamera belakang dengan sensor utama 108-megapixel. Telefon pintar ini masih mengekalkan sokongan IR Blaster, NFC, dan juga bicu audio 3.5mm. Xiaomi menyertakan pengimbas cap jari pada bahagian tepi untuk siri peranti ini.

Selain variasi Pro, Xiaomi juga turut telah memperkenalkan Redmi Note 9 5G yang hadir dilengkapi skrin 6.53-inci FHD+, dijana cip MediaTek Dimensity 800U, memori dan storan dalam pilihan sama seperti versi Pro, dan bateri 5000mAh dengan pengecasan 18W.

Untuk rakaman gambar, ia menyertakan tri-kamera belakang dengan sensor utama 48-megapixel, serta turut menyertakan sokongan IR Blaster.

Buat masa ini, Xiaomi mengumumkan penawaran peranti ini di China sahaja. Redmi Note 9 Pro 5G ditawarkan pada harga bermula 1,599 yuan iaitu sekitar RM989, manakala versi Redmi Note 9 5G biasa pula ditawarkan pada harga 1299 Yuan, iaitu sekitar RM803.

Komen