Microsoft nampaknya akan memperkenalkan siri komputer riba Microsoft Surface Pro 8 dan Surface Laptop 4 mereka tidak lama lagi, kerana gambar untuk kedua-dua peranti ini telah tertiris ke arena internet.
Gambar-gambar ini dilihat melalui laman web Safety Korea, yang kami jangkakan ialah badan pengesahan produk Korea Selatan, sama seperti SIRIM di Malaysia.

Sekilas pandang, kedua-dua peranti Surface ini nampaknya akan hadir dengan rekaan lebih kurang sama seperti Surface Pro dan Laptop sebelum ini, dengan perbezaannya hanyalah dapat dilihat dari segi spesifikasi dalaman.

Bercakap mengenai spesifikasi dalaman, kedua-dua komputer riba ini dijangka akan dikuasakan oleh CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake, manakala Surface Laptop 4 akan hadir dengan pilihan CPU AMD sekali lagi.
Menurut Windows Central, Microsoft akan memperlihatkan kedua-dua komputer riba ini pada penghujung Januari 2021 kelak, dan akan mula menjualnya tidak lama selepas itu.