Pelbagai pihak kini dalam persiapan untuk mendapatkan vaksin untuk menentang Covid-19, termasuk kerajaan yang sedang berusaha untuk mendapatkannya bagi terus memastikan kesihatan rakyat terjaga. Selari dengannya, kini Perdana Menteri mengumumkan yang mana Pfizer telah berjanji untuk menghantar dos vaksin seawal suku pertama 2021 kelak.
Sebelum ini Pfizer telah mengumumkan ujian klinikal fasa ketiga terbaru mereka mendapati ia berjaya menghalang jangkitan Covid-19 sehingga 90%.
Sebanyak empat penghantaran dijanjikan oleh Pfizer, termasuk 1 juta dos pada suku tahun pertama, 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga, dan 4.3 juta dos pada suku keempat 2021.
Dengan jumlah 12.8 juta dos vaksin Covid-19 ini, ia dijangka akan menampung imunisasi seramai 6.4 juta rakyat Malaysia. Proses pemberian vaksin dijangka dilakukan secara berperingkat dengan fokus terhadap kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu.
Apa pun, syarikat Pfizer masih perlu melalui beberapa fasa lagi sebelum vaksin berkenaan boleh digunakan di Malaysia – termasuk mendapatkan kelulusan FDA, NPRA dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Selain Pfizer, kerajaan malaysia juga telah memeterai perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin Covid-19 untuk 10% rakyat Malaysia.