Cari @ Amanz

Pernahkah anda menerima SMS berbentuk langganan kandungan terus ke telefon anda, dan seterusnya anda dikenakan caj sebanyak antara 50 sen sehingga RM5 untuk setiap SMS berkenaan? Perkara ini adalah salah satu jenayah terancang, dan kini ia dilaporkan sekitar 100 syarikat penyedia kandungan melakukan jenayah menyedut kredit prabayar pengguna ini.

Jenayah ini dilihat telah merugikan sehingga RM100 juta sejak 10 tahun lepas. Perkara ini dikongsikan oleh SPRM melalui Harian Metro, yang telah melakukan siasatan sejak daripada bulan Mac 2020 yang lepas berkenaan dengan penipuan terancang ini.

Melalui  jenayah ini, “syarikat” penyedia kandungan akan menghantar mesej SMS kepada talian prabayar pengguna, dan mangsa seterusnya akan dikenakan caj antara 50 sen ke RM5 untuk setiap SMS yang diterima. SMS ini turut dihantar kadang-kala walaupun pengguna tidak pernah melakukan  sebarang langganan.

Mengikut siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), ia didapati penipuan terancang ini turut melibatkan kerja “orang dalam” di syarikat telekomunikasi – yang didapati memegang pelbagai jawatan penting.

Buat masa ini, sekitar lima syarikat telekomunikasi telah disiasat. SPRM mengatakan syarikat penyedia kandungan yang melakukan jenayah SMS ini membayar rasuah kepada “orang dalam” di syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan data pengguna. Setersunya, mereka akan mula menghantar pelbagai kandungan SMS ke talian pengguna melalui data yang didapati mereka.

SPRM melalui Harian Metro turut mengatakan mereka akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap lebih banyak syarikat komunikasi yang diyakini bersekongkol dengan syarikat penyedia kandungan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd