Cari @ Amanz

Beberapa bulan kebelakangan ini kami menyedari terdapat banyak iklan kit menyahkuman menggunakan pancaran cahaya ultra ungu (UV) di media sosial. Menurut penjual, cahaya UV-C yang dipancarkan boleh membasmi kuman serta virus ketika dunia masih bertarung dengan Covid-19. Tetapi kajian yang diterbitkan di dalam jurnal Ocular Immunology and Inflammation mengesahkan penggunaan yang salah boleh menyebabkan kerosakan mata.

Penggunaan yang tidak mengikut arahan menyebabkan radang pada mata yang diberi nama photokeratitis. Ini boleh menyebabkan kesakitan pada mata apabila melihat cahaya yang terang atau terasa seperti terdapat objek melekat pada bebola mata. Dalam kesemua kes, pesakit terdedah kepada lampu UV yang dipasang di rumah dan ketika melihat lampu tanpa menggunakan pelindung mata. Kecederaan pada mata walau bagaimanapun adalah tidak kekal dengan pemulihan memakan masa beberapa hari sahaja.

Oleh sebab itu penyelidik menyarankan supaya penggunaan lampu UV di rumah tidak dilakukan. Aturan penggunaan yang betul dengan pelindung mata juga adalah perlu bagi mengelakkan kerosakan pada mata berlaku. Oleh itu jika anda menyimpan hasrat membeli sistem lampu UV di rumah, pastikan anda tahu mengenai risikonya terlebih dahulu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd