Amazfit GTS 2 Mini Dan Pop Pro Dilancarkan Secara Rasmi

Amazfit GTS 2 Mini Dan Pop Pro Dilancarkan Secara Rasmi

Diterbitkan pada Dis 1, 2020 oleh .

Huami merupakan anak syarikat Xiaomi yang sedia terkenal dengan penawaran peranti-boleh pakai di bawah jenama Amazfit. Kalau anda perasan, mereka baru sahaja melancarkan Amazfit GTR 2 dan GTS 2, tempoh hari. Kini, jenama ini telah menambah dua lagi model terkini untuk rangkaian peranti-boleh pakai keluarannya.

Dikenali sebagai Amazfit GTS 2 Mini dan Amazfit Pop Pro, kedua-duanya diberi nafas baru dari segi penawaran spesifikasinya untuk pengalaman penggunaan lebih baik. Kita mulakan dengan Amazfit GTS 2 Mini terlebih dahulu yang mempunyai rekaan berkotak dan rekaan lebih nipis berbanding pendahulunya.

Ia dilengkapi skrin bersaiz 1.55-inci AMOLED dengan resolusi 354 x 306 piksel, bersama tubuh yang diperbuat daripada bahan aluminium. Bateri disertakan adalah sebesar 220mAh dengan ketahanan sehingga 14 hari dalam mod penggunaan biasa atau sehingga 21 hari dalam mod penjimatan bateri.

Ia juga menawarkan rintangan air sehingga 5ATM. Selain, menyokong sehingga 70 mod sukan berbeza dan sejumlah sensor penjejak kesihatan. Spesifikasi lain termasuk bluetooth 5.0 BLE, GPS + GLONASS, kawalan muzik dan kamera, NFC dan juga pembantu maya Xiao AI.

Seterusnya ialah Amazfit Pop Pro. Ia merupakan versi Pro untuk Amazfit Pop sebelum ini yang dilengkapi GPS terbina. Ia mempunyai skrin sentuhan bersai 1.43-inci TFT dengan resolusi 320 X 302 piksel. Dari segi fungsi, ia hadir dengan sejumlah sensor terbina untuk pemantauan kesihatan, dilengkapi 60 mod sukan berbeza dan sistem penilaian PAI.

Bateri yang disertakan adalah sebesar 225mAh dengan ketahanan sehingga 9 hari dengan penggunaan biasa. Spesifikasi lain termasuk ketahanan air 5ATM, GPS, NFC dan kawalan untuk kamera serta pemain muzik. Untuk penawaran harga, Amazfit GTS 2 Mini dijual pada harga RMB699 (~RM433) seutas. Manakala, Amazfit Pop Pro pula berharga RMB399 (~RM248).



Paling Popular