Sokongan mod desktop pada peranti Android sudah lama ramai inginkan. Buat masa ini yang berfungsi dengan baik adalah peranti-peranti Samsung melalui Samsung DeX. Android itu sendiri sudah menyokong mod ini, tetapi pengeluar peranti tidak menawarkan fungsi ini. Tahun hadapan, Motorola mungkin akan hadir dengan mod desktop seakan Samsung DeX – tetapi mungkin jauh lebih baik.

Semasa pelancaran cip pemproses peranti mercu tahun 2021, Snapdragon 888 – Motorola memperlihatkan mod desktop mereka yang digunakan pada peranti yang kelihatan seperti Motorola Edge+. Mod desktop Motorola ini akan pelbagai mod berbeza. Antaranya adalah menjadikan peranti Motorola sebagai kamera web kepada televisyen pintar, menstrim permainan video (mungkin Stadia) dan juga mod yang mirip dengan Samsung DeX untuk kegunaan pejabat.

Apa yang menarik adalah di bahagian hiburan. Motorola dilihat mungkin boleh menjadikan televisyen dungu menjadi pintar. Terdapat seakan sejenis pelancar untuk televisyen, yang mana menawarkan banyak aplikasi penstriman video, telesidang dan mungkin juga permua. Secara tidak langsung, peranti Motorola ini juga boleh dijadikan sebagai sejenis kotak set “Android TV” dengan antaramuka yang tersendiri.

Mod ini mungkin akan hadir pada peranti mercu baharu Motorola yang dijana Snapdragon 888. Buat pertama kalinya, Motorola mungkin akan hadir dengan peranti mercu dalam siri Moto G mereka. Apa-apa pun, ia kelihatan sangat menarik dan harap kami dapat mencubanya kelak. Sama-sama kita nantikan.