Beberapa bulan selepas NVIDIA melancarkan siri kad grafik Ampere, ataupun GeForce RTX 3000 mereka, yang terdiri daripada NVIDIA GeForce RTX 3090, RTX 3080 dan RTX 3070, NVIDIA kini telah melancarkan siri kad grafik kelas pertengahan yang lebih mampu milik yang dinamakan NVIDIA GeForce RTX 3060Ti.
Bermula dengan spesifikasi dalaman kad grafik ini, ia hadir dengan 4864 teras CUDA, kelajuan asas 1.4GHz dan Boost Clock setinggi 1.67GHz dan menggunakan memori GDDR6 sebanyak 8GB.
Kad grafik ini mengekalkan penggunaan kipas dengan konfigurasi push-pull yang digunakan pada kad-kad grafik RTX 3000 yang lain. Ia juga hadir dengan pilihan port video yang cukup banyak, termasuklah tiga palam DisplayPort 1.4a dan satu palam HDMI 2.1. Kad grafik edisi Founders Edition dikuasakan oleh satu palam 12-pin PCIe yang baru diperkenalkan pada siri kad grafik ini.
Dari segi prestasi, ia telah dilaporkan bahawa kad grafik kelas pertengahan ini boleh digunakan untuk menggereakkan permainan pada resolusi Full HD (1920×1080) dengan kadar segar semula tinggi ataupun QHD (2160×1440) pada kadar segar semula 60FPS dengan tetapan yang tinggi.
Apa yang menarik mengenai ini ialah bergantung kepada permainan yang dimainkan, kad grafik RTX 3060 ini boleh mengolah grafik pada tahap yang sama seperti sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080, iaitu kad grafik kelas mercu generasi sebelum ini pada kadar penggunaan kuasa yang jauh lebih rendah pada 200W sahaja.
Sama seperti kad grafik RTX 3000 yang lain, ia juga hadir dengan ciri Ray-tracing, DLSS dan sebagainya.
Tanda harga kad grafik ini ditetapkan pada RM1800 di laman web NVIDIA, tetapi walaupun begitu, kad grafik Founders Edition yang ditunjukkan sebenarnya tidak boleh dibeli di sini secara rasmi.
Walaupun begitu, kami telah diberitahu bahawa rakan-rakan pembina kad grafik seperti ASUS, GIGABYTE, MSI dan sebagainya akan membawa kad grafik ini ke pasaran tempatan dalam masa terdekat ini.