Cari @ Amanz

Tidak dinafikan, ramai di antara kita sering menggunakan aplikasi Google Maps untuk mencari sesuatu lokasi. Saban hari, aplikasi ini juga dilihat telah dikemaskini dengan sejumlah penambahbaikan untuk memudahkan pengguna.

Dalam perkembangan terkini, Google dilihat menambah ciri kandungan komuniti pada aplikasi Google Maps. Melaluinya, pengguna boleh mengetahui kemaskini perkembangan semasa untuk sesebuah lokasi. Ciri ini boleh diakses menerusi tab Explore dan ia akan memaparkan sejumlah kemaskini dalam bentuk ulasan, gambar dan siaran terkini daripada pengguna lain. Difahamkan, ciri ini juga boleh disesuaikan mengikut minat yang dipilih oleh pengguna.

Secara amnya, ciri ini boleh dikatakan sangat berguna. Sebabnya, ia lebih memudahkan kita untuk ketahui lebih lanjut mengenai keadaan semasa tempat yang dicari. Di samping itu, ia juga dilihat dapat membantu peniaga untuk berhubung dengan lebih baik bersama pembeli. Untuk makluman, ia telah dilancarkan secara global untuk semua pengguna Android dan iOS.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd