iPhone 12 adalah peranti mercu terbaru dari Apple dan menggunakan cip pemproses 5nm berkuasa. Cip pemproses Apple A14 Bionic ini lebih hebat, pantas, kurang menggunakan kuasa dan lebih efisien. Ini membolehkan peranti-peranti iPhone 12 mempunyai kapasiti bateri yang lebih rendah berbanding iPhone 11, tetapi masih mempunyai ketahanan yang lebih kurang sama.

Terkini, beberapa pengguna masalah bateri berlaku pada iPhone 12 mereka. Majoriti dilihat berlaku pada 12 Pro dan lain-lain adalah 12 biasa dan 12 mini. Masalah bateri yang berlaku adalah ia cepat habis, walaupun tidak digunakan. Bateri dilihat menurun sebanyak 4% setiap jam dan ada juga yang menurun sekitar 20%-40% semalaman. Tidak kira jika sudah mematikan WiFi, gunakan WiFi sahaja, tidak menggunakan data, atau mematikan 5G – masalah dilihat tetap berlaku.

Kemudian, terdapat data diperoleh dari jurutera peranti mudah alih (bukan Apple) – memperlihatkan penurunan bateri iPhone 12 adalah sama sahaja dengan mod jimat bateri atau mod biasa. Ada pengguna membuat diagnostik peranti di pusat khidmat pelanggan Apple dan mendapati tiada masalah pada bateri. Ini bermakna besar kemungkinan ini adalah pepijat dalam iOS.
Peranti iPhone 12 Mini yang saya gunakan dilihat tiada masalah. Jadi ini mungkin berlaku pada segelintir pengguna sahaja. Harapnya ini bukan satu isu yang serius dan akan memudaratkan kesihatan bateri peranti.