Dua fon telinga terbaru keluaran Realme iaitu Realme Buds Air Pro dan Realme Buds Wireless Pro akhirnya memasuki pasaran tempatan. Kedua-duanya merupakan fon telinga jenis nirwayar tetapi hadir dengan rekaan yang berbeza.
Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkannya pada harga RM369 untuk Realme Buds Air Pro. Sementara, Realme Buds Wireless Pro pula berharga RM269. Jualan pertama bermula 12 Disember ini anda boleh memilikinya pada harga promosi lebih rendah iaitu RM299 untuk Realme Buds Air Pro. Manakala, RM199 pula untuk Realme Buds Wireless Pro. Seperti biasa, promosi ini terhad untuk jualan pertama sahaja.
Untuk spesifikasi, kita mulakan dengan Realme Buds Air Pro terlebih dahulu. Ia hadir dengan rekaan fon jenis dalam telinga bertangkai dan pod pengecas yang berbentuk bulat seakan Vivo Neo TWS. Seterusnya, ia juga dilengkapi dua mikrofon bersama pembatalan hingar aktif yang mampu mengurangkan bunyi sehingga 35dB. Ia juga menggunakan cip S1, disertakan sokongan Game Mode yang dipertingkatkan dengan latensi 94ms.
Bateri disertakan adalah sebesar 486mAh dengan ketahanan berfungsi maksima sehingga 25 jam. Spesifikasi lain termasuklah menyokong codec SBC, AAC, bluetooth 5.0, penarafan rintangan air IPX4, kawalan sentuhan dan banyak lagi.
Seterusnya ialah Realme Buds Wireless Pro. Dari segi rekaan, ia merupakan fon telinga jenis dalam-telinga dengan gelung yang melingkar pada bahagian leher. Turut kelihatan, terdapatnya sejumlah butang untuk kawalan dan proses penukaran antara dua peranti. Seterusnya, ia menggunakan pemandu audio bersaiz 13.6mm. Ia juga dijana cip S1 dengan sokongan Game Mode bersama latensi 119ms.
Selain itu, ia dilengkapi sistem pembatalan hingar aktif yang mampu mengurangkan bunyi sehingga 35dB. Spesifikasi lain termasuk sokongan bluetooth 5.0, bateri 160mAh, penarafan rintangan air IPX4 dan sokongan Hi-Res Audio menggunakan CODEC LDAC untuk kualiti bunyi yang baik.