Kerajaan Amerika Syarikat baru-baru ini telah menjalankan sebuah inkues terhadap beberapa syarikat teknologi besar di negara tersebut, seperti Amazon, Google dan juga Facebook. Ketua-ketua syarikat-syarikat ini diajukan soalan mengenai pelbagai isu, seperti anti-persaingan dan sebagainya.
Baru-baru ini, ia telah dilaporkan bahawa sebanyak 40 negeri didalam Amerika Syarikat, dikepalai oleh New York akan menyaman Facebook dalam masa terdekat ini, mungkin seawal minggu hadapan.
Menurut Reuters, ia masih tidak diketahui lagi apakah sebab yang akan diberikan untuk menyaman platform media sosial tersebut, tetapi salah satu isu terbesar mengenai syarikat tersebut ialah ia sering dilihat membeli syarikat-syarikat kecil untuk diserapkan dalam perkhidmatannya.
Dua syarikat terkenal yang kini berada dibawah naungan Facebook termasuklah WhatsApp dan juga Instagram, dimana kedua-dua syarikat ini dibeli pada harga yang sangat tinggi sekali. Instagram dibeli pada harga $1 bilion pada tahun 2012, dan pada tahun 2014, mengambil-alih WhatsApp untuk harga $19 bilion.
Ini mungkin salah satu daripada beberapa alasan yang boleh digunakan oleh negeri-negeri ini untuk menyaman Facebook yang kini dibelenggu masalah-masalah dalaman lain seperti berat sebelah kepada pihak-pihak berkepentingan yang tertentu dan gagal untuk melindungi pihak-pihak yang lain.
Isu antitrust ini bukanlah sesuatu yang baru. Google telah disaman oleh jabatan keadilan Amerika Syarikat pada bulan Oktober lalu kerana isu yang sama.