Cari @ Amanz

Peranti dengan kamera 3D ToF dan sensor LiDAR kini sudah beberapa tahun dijual di pasaran. Dengan maklumat 3D yang tersimpan pada gambar, proses menghasilkan bokeh yang lebih tepat serta kesan khas potret dapat dilakukan dengan lebih tepat. Tetapi selain daripada itu penggunaannya adalah agak terhad.

Looking Glass Portrait ialah sebuah bingkai gambar yang akan membuatkan anda ingin menggunakan teknologi 3D ToF dan LiDAR dengan lebih meluas. Ia boleh memaparkan gambar yang diambil dalam bentuk hologram tiga dimensi.

Bingkai ini akan membaca data meta kedalaman gambar yang diambil. Perisian kemudian akan mengubah gambar 2D menjadi 3D. Apabila dilihat menerusi Looking Glass Portrait, gambar akan kelihatan seperti terapung dengan kesan hologram tiga dimensi yang menarik.

Selain digunakan untuk paparan gambar yang diambil menggunakan telefon pintar, ia juga boleh digunakan untuk melihat objek/aset 3D yang dihasilkan menggunakan perisian seperti Maya. Ini membantu pereka watak 3D untuk melihat objek yang ingin dihasilkan untuk permainan video atau aplikasi peranti terimbuh. Looking Glass Portrait boleh berfungsi secara kendiri ataupun disambungkan kepada sebuah komputer desktop menerusi kabel HDMI.

Looking Glass menghasilkan juga sebuah aplikasi yang menyokong kamera tiga dimensi Kinect dan Intel RealSense untuk merakam gambar atau video 3D. Pada waktu yang sama sokongan turut diberikan pada iPhone dengan sistem imbasan wajah tiga dimensi pada bahagian hadapan dan juga LiDAR pada bahagian belakang.

Loooking Glass Portrait kini sedang mengumpul dana menerusi laman biayasama Kickstarter. Projek boleh disokong dengan bayaran $199 (~RM810) sebuah untuk kit bingkai sahaja atau $999 (~RM4068) untuk kit lengkap menghasilkan kandungan hologram.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd