Apple melalui pengenalan iPhone 12, telah melangkah setapak kehadapan dan tidak lagi menyertakan kepala pengecas dan juga fon kepala bersama pembelian telefon pintar terbaru mereka. Apple mengatakan ini adalah salah satu usaha dalam mengurangkan pencemaran.
Apa pun, beberapa negara dilihat tidak bersetuju dengan langkah berkenaan. Sebelum ini, kita telah melihat Perancis memerlukan Apple turut menyertakan fon telinga bersama pembelian iPhone. Kini, selain di Perancis, di Brazil, pihak berkuasanya dijangka akan memaksa Apple untuk menyertakan kepala pengecas bersama pembelian iPhone.
Pihak berkuasa yang memfokuskan kepada perlindungan pengguna di Brazil dilihat mempersoalkan apakah kesan sebenar ia terhadap persekitaran, dan sama ada ia akan menjejaskan pengguna atau tidak. Apa pun, Apple dipetik membalasnya dengan mengatakan kebanyakkan pengguna sedia mempunyai kepala pengecas, dan ia akan mengurangkan kesan karbon.
Ia dilaporkan agensi perlindungan pengguna di Brazil tidak bersetuju dengan jawapan berkenaan. Kepala pengecas dianggap sebagai salah satu komponen penting dalam menggunakan produk tersebut, dan menjual iPhone tanpanya melanggar hak pengguna.
Apple perlu memberikan jawapan untuk beberapa persoalan yang ditimbulkan agensi berkenaan – termasuk impak sebenar terhadap persekitaran hasil pembuangan kepala pengecas ini. Apple perlu memberikan jawapan dalam minggu ini, atau mereka akan disaman oleh pihak berkuasa di Barzil.