Cari @ Amanz

NVIDIA baru sahaja melancarkan model kad grafik terbaru mereka, iaitu NVIDIA GeForce RTX 3060Ti, iaitu kad grafik yang setanding dengan model kad grafik mercu siri sebelum ini.

GIGABYTE Malaysia juga baru mengumumkan bahawa mereka akan membawa empat model kad grafik berdasarkan kad grafik GeForce RTX 3060Ti ini, termasuklah AORUS GeForce RTX 3060Ti Master 8G, GIGABYTE GeForce RTX 3060Ti Gaming OC 8G, GIGABYTE GeForce RTX 3060Ti Eagle OC 8G dan GIGABYTE GeForce RTX 3060Ti Eagle 8G.

Bermula dengan AORUS GeForce RTX 3060Ti Master 8G, kad grafik ini dilengkapi dengan sistem penyejukan MAX-Covered Cooling yang hadir dengan tiga buah kipas penyejuk bersaiz 100mm.

Bongkah penyejukannya yang diperbuat daripada bahan tembaga menyejukkan sejumlah besar komponen-komponen dalaman seperti GPU dan memori grafik dimana ia kemudiannya dialirkan ke bahagian paip haba dah akhirnya ke sirip penyejukan dimana ia akan dialirkan ke udara melalui kipas-kipas penyejuk/

Satu lagi ciri menarik pada kad grafik ini ialah ia juga mempunyai sebuah paparan LCD kecil yang boleh digunakan untuk menunjukkan suhu dalaman komponen dan juga gambar-gambar yang boleh diubahsuai melalui perisian yang disediakan oleh GIGABYTE.

GIGABYTE GeForce RTX 3060Ti Gaming OC dilengkapi sistem penyejukan GPU WINDFORCE 3X yang hadir dengan tiga buah kipas penyejukan. Kipas tengah kad grafik ini berpusing pada arah yang berlainan daripada dua kipas yang lain untuk mengoptimasikan pengaliran haba daripada kad grafik.

Disamping itu, kad grafik ini juga hadir dengan ciri pencahayaan RGB Fusion 2.0 yang menjadikan kad grafik anda lebih ranggi dengan lampu-lampu LED yang boleh diperlihatkan di bahagian penyejuk kipas dan juga tepi kad grafik ini.

Jika anda tidak memerlukan terlalu banyak ciri-ciri tambahan pada kad grafik anda, GIGABYTE GeForce RTX 3060Ti Eagle 8G dan Eagle OC 8G mungkin lebih sesuai untuk anda.

Kad grafik ini hadir dengan dua kipas penyejukan bersaiz 100mm, dan bahagian sisinya dilengkapi sistem pencahayaan RGB yang boleh diubahsuai warnanya. Model ini hadir dengan dua variasi, dimana model dengan nama OC hadir dengan kelajuan cip pemprosesan grafik yang dilewahjam.

Menurut GIGABYTE Malaysia, kesemua kad-kad grafik ini boleh didapati di pasaran tempatan, dan dijual pada tanda-tanda harga berikut:

  • AORUS Master GeForce RTX 3060Ti Master 8G – RM2599
  • GIGABYTE GeForce RTX 3060Ti Gaming OC 8G – RM2289
  • GIGABYTE GeForce RTX 3060Ti Eagle OC 8G – RM2179
  • GIGABYTE GeForce RTX 3060Ti Eagle 8G – RM1969
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd