Cari @ Amanz

Sejak tahun lepas lagi, kita sudah mendengar yang Apple bakal menggunakan panel mini-LED untuk MacBook. Berita ini kedengaran sekali lagi tahun ini pada bulan Mac dan panel mini-LED ini tidak akan terhad kepada MacBook sahaja. Terdapat laporan menyatakan yang iPad Pro turut akan menggunakan panel ini. Samsung dan LG dilihat adalah pilihan Apple sebagai pembekal panel skrin. Rekaan MacBook juga akan dikemaskini menjelang tahun 2021 tidak lama lagi.

Hanya sebulan sahaja lagi untuk tibanya tahun 2021. Apple dilihat sudah bersedia dengan produk-produk dengan skrin mini-LED. Menurut Ming-Chi Kuo, iaitu penganalisa terkenal – akan terdapat dua MacBook Pro pada tahun hadapan dengan skrin mini-LED. Ia mungkin adalah 13-inci dan 16-inci. Bukan itu sahaja, Apple juga dijangka akan memasarkan peranti dengan panel mini-LED sebanyak 10-12 juta pada tahun 2021 dan 25-28 juta menjelang tahun 2022.

Peningkatan ini dapat dijangka kerana menjelang tahun 2022, penggunaan mini-LED sudah menjadi trend dan kos akan menjadi lebih murah. Penggunaan mini-LED juga dikatakan akan menjadi ikutan dan akan memberi impak besar berbanding dengan apa yang dijangka pada awalnya. MacBook Pro ini juga akan menggunakan rekaan baharu yang dikatakan sebelum ini.

Disebabkan populariti MacBook baharu dengan mini-LED ini kelak, pasarannya akan menjadi lebih baik daripada iPad. Apple mungkin akan menerima peningkatan jualan sebanyak 100% dalam masa tiga tahun ini dengan sebanyak 30-35 juta unit dipasarkan. Penggunaan Apple Silicon seperti Apple M1 turut menyumbang kepada penghasilan panel mini-LED yang lebih luas.

Apple M1

Kos pembuatan Apple M1 adalah murah, dan boleh ofset kepada kos pembuatan panel mini-LED yang tinggi. MacBook Air juga akan hadir dengan versi baharu pada tahun 2022, yang mana versi ini akan dijual pada harga lebih murah dari MacBook Air generasi lama. Sebagai peringatan, mini-LED adalah pengganti kepada LCD dengan kualiti yang jauh lebih baik dan kos yang lebih murah (jika pengeluaran dalam kuantiti banyak).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd