Cari @ Amanz

Digi kini mengumumkan bahawa laman web dan aplikasi mereka telah dikemaskini dengan pendekatan sewajarnya untuk golongan orang kelainan upaya (OKU)  terutama golongan masalah penglihatan. Ia dilaksanakan bagi memudahkan pelbagai urusan golongan berkenaan termasuk proses pembayaran bil.

Pelaksanaan ini juga bagi membuktikan komitmen Digi dalam usaha menghubungkan yang tidak terhubung dan menyediakan peluang sama rata di kalangan semua pengguna, termasuk mereka yang kelainan upaya. Ia memfokuskan kepada empat masalah penglihatan termasuk rabun, penglihatan yang rendah, rabun warna dan disleksia.

Difahamkan, beberapa inisiatif telah dilakukan bagi menjadikan laman web dan aplikasi mereka lebih bercirikan mesra OKU. Ia termasuklah menyediakan kapsyen deskriptif serta teks alternatif, menggunakan fon lebih mudah dibaca, ikon dengan kontras lebih tinggi dan sebagainya. Kesemua penambahkan ini adalah berasaskan piawaian antarabangsa.

Pada masa sama, Digi turut melancarkan Inclusive Digital Touchpoints Playbook. Ia bertujuan untuk memberi inspirasi kepada sejumlah pihak yang mempunyai perancangan untuk membina platform digital mudah diakses oleh golongan kelainan upaya.

Di samping itu, Digi turut hadir dengan inisiatif istimewa dalam menunjukkan komitmen berterusan terhadap pemerkasaan golongan ini. Di mana, mereka telah memperkenalkan pelan pascabayar khusus dan rebat RM10 seumur hidup untuk pelanggan berdaftar yang berumur 60 tahun ke atas.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd