Carian
Ulasan Western Digital My Passport SSD – Pantas Bak Halilintar
December 10, 2020 Nazrin

Apabila konsep storan luaran USB diperkenalkan sekitar 15 tahun yang lalu, storan-storan ini biasanya digunakan untuk menyimpan dan berkongsi fail-fail bersaiz besar kerana storan dalaman komputer tidak mencukupi, dan kelajuan internet tidak cukup laju untuk menghantar fail-fail tersebut dengan cepat.

Ia juga hadir dengan saiz yang boleh dikatakan agak besar sebelum storan cakera keras digantikan dengan storan yang menggunakan memori flash yang jauh lebih padat.

Kini, Western Digital telah memperkenalkan kemaskini kepada siri storan WD My Passport SSD mereka, dimana ia hadir dengan rekaan yang sangat padat, tetapi masih mempunyai kapasiti storan yang tinggi dan juga kelajuan pembacaan dan penghantaran data yang pantas.

Rekaan Dan Spesifikasi

Diantara isu menggunakan storan luaran dengan sebuah komputer biasanya adalah kerana saiznya yang besar. Jika anda seorang pekerja yang sering bergerak kehulu dan kehilir, mengeluarkan dan menyimpan storan ini boleh dikatakan sebagai satu beban tambahan.

WD My Passport SSD hadir dengan rekaan yang sangat padat, dengan saiz ukurannya hanya sekecil 10cm x 5.5cm x 0.88cm sahaja. Cangkerang luarnya diperbuat daripada logam, dan rekaan ini melindungi komponen-komponen dalaman daripada kerosakan impak sekiranya storan ini terjatuh secara tidak sengaja.

WD menggunakan antaramuka USB 3.2 Type-C untuk menyambung ke komputer. Ia hadir dengan kabel USB Type-C ke Type-C tetapi juga hadir dengan penyesuai untuk port USB Type-A jika diperlukan.

WD My Passport SSD juga hadir dengan tiga pilihan storan, iaitu 500GB, 1TB dan juga 2TB. Berbeza dengan kebanyakan storan SSD di pasaran sekarang, ia menggunakan storan flash NVMe dimana kelajuan pembacaan dan penulisan data dikatakan sepantas 1GB/s.

Dari segi pilihan warna pula, anda boleh memilih untuk mendapatkan model dengan pilihan warna berikut: Biru, merah, kelabu, emas dan perak. Warna perak sedikit unik berbanding dengan pilihan warna lain kerana ia hanya hadir untuk pilihan storan 1TB dan 2TB sahaja.

Pengalaman Pengguna

Bermula dengan membuka kotak storan WD My Passport Drive ini, ia tiba dengan storan SSD itu sendiri, kabel USB Type-C ke Type-C dan penyesuai USB Type-A.

Lebih menarik lagi, WD My Passport SSD menyokong kedua-dua sistem operasi Microsoft Windows dan juga MacOS tanpa perlu melakukan apa-apa perubahan kepada sistem fail storan ini.

Ini sangat baik kerana pengguna boleh terus menggunakan storan ini keluar daripada kotak dan berkongsinya dengan pengguna-pengguna yang menggunakan sistem operasi lain dengan cepat dan mudah.

Komputer riba sekarang, termasuklah komputer-komputer desktop yang lebih baru kini rata-rata kesemuanya hadir dengan port USB Type-C, tidak kiralah ia menggunakan antaramuka USB 3.0 ataupun USB 3.2 Gen-2 yang terbaru.

Salah satu kelebihan menggunakan storan SSD ialah kelajuan pembacaan dan penghantaran data yang pantas. Seperti yang dikatakan oleh WD sebelum ini, WD My Passport SSD ini mempunyai kelajuan pembacaan dan penghantaran data sepantas 1GB/s.

Kami menguji kata-kata mereka dengan menyambungkannya pada komputer riba dengan sambungan antaramuka Thunderbolt 3 dan menggunakan perisian penanda-aras storan CrystalDiskMark.

Ternyata kata-kata Western Digital mengenai kelajuan storan My Passport SSD mereka tepat sekali. Didalam ujian kami, dimana kami menanda-arasnya sebanyak tiga kali, kami dapati bahawa kedua-dua kadar pembacaan dan penulisan datanya berada dalam julat 950MB/s ke 1GB/s.

Dari segi penggunaan harian pula, saya memberi storan ini kepada video editor di Amanz untuk menguji jika ia boleh digunakan untuk mengakses fail-fail video terus daripada storan tanpa perlu memindahkan fail terlebih dahulu.

Menurut video editor kami, dia memindahkan fail-fail video yang dirakam terus kedalam storan My Passport SSD ini, dan mengeditnya secara terus tanpa terlebih dahulu memindahkan fail tersebut ke laptopnya.

Menurut beliau, pengalamannya mengedit video beresolusi tinggi dengan storan My Passport Drive ini seakan-akan video tersebut diedit terus daripada komputer riba beliau tanpa isu sela ataupun lengah masa.

Video tersebut juga dieksport terus ke storan My Passport SSD ini tanpa sebarang isu korupsi ataupun kelewatan. Ini khususnya penting kerana untuk mereka yang bekerja dengan komputer riba Macbook yang tiada pilihan untuk menaiktarafkan storan kemudian, penggunaan storan luaran seperti ini cukup penting sekali, dimana prestasinya juga sama penting seperti jumlah storan yang ditawarkan.

Jika anda menitik-beratkan keselamatan data anda, WD juga memuatkan perisian keselamatan percuma untuk menyulitkan storan anda daripada dibaca oleh pihak lain.

Satu kekurangan yang boleh saya katakan ialah jika anda bekerja dengan storan My Passport SSD ini, sewaktu data sedang dibaca ataupun ditulis, suhu storan ini boleh naik secara mendadak. Ia tidak mengacau prestasi storan ini, akan tetapi ia adalah sesuatu yang perlu diperkatakan, khususnya jika anda menggunakan storan ini di kawasan luar.

Berbaloikah membelinya?

Ia perlu dikatakan bahawa storan WD My Passport Drive ini tidak murah sama sekali. Dari segi pilihan storan SSD luaran yang ada di pasaran sekarang, model storan SSD ini adalah diantara yang termahal yang pernah saya lihat setakat ini.

Penggunaan storan SSD NVMe, disamping sokongan untuk teknologi penghantaran data USB 3.2 Gen 2 yang mampu membaca dan menulis data sepantas 1GB/s, bersama-sama rekaannya yang cukup padat sekali menjadikannya sebuah pilihan storan digital paling premium yang boleh dibeli.

Boleh saya katakan bahawa WD memfokuskan penjualan storan My Passport SSD ini untuk golongan kreatif profesional yang memerlukan storan bersaiz kecil yang juga sangat pantas.

WD My Passport SSD ini boleh dibeli di kedai atas-talian Western Digital di Lazada pada harga-harga berikut menjelang 12 Disember kelak:

Penutup

Jika anda memerlukan sebuah peranti storan luaran yang pantas dengan kapasiti yang besar dan tidak terlalu berkira dengan tanda harga, Western Digital My Passport SSD terbaru ini adalah pelaburan yang cukup baik,

Saiznya yang cukup kecil untuk disimpan didalam poket, bersama-sama dengan kapasiti storan yang besar dan juga kelajuan pembacaan dan penulisan data yang sangat pantas membolehkannya dijadikan sebagai sebuah aset yang tidak ternilai oleh golongan kreatif profesional.

Penggunaan sistem fail exFAT juga membuatkannya sebuah storan yang fleksibel dan boleh digunakan pada pelbagai jenis peranti dan sistem operasi tanpa masalah.

Pro:

  • Rekaan padat
  • Kapasiti storan besar
  • Kadar pembacaan dan penulisan data yang pantas
  • Sokongan pelbagai sistem operasi

Kontra:

  • Harga bangsawan
  • Cepat panas
Komen