Cari @ Amanz

Syarikat-syarikat telekomunikasi sekarang rata-rata sedang meningkatkan capaian rangkaian 4G mereka di seluruh negara dibawah projek JENDELA. Walaupun begitu, ujian-ujian rangkaian 5G masih lagi sedang dijalankan dibawah beberapa projek-projek kecil.

Diantaranya ialah kerjasama yang baru sahaja ditandatangani oleh syarikat telekomunikasi U Mobile bersama-sama dengan Hotayi Electronics, iaitu sebuah syarikat pembangunan komponen-komponen elektronik yang berpengkalan di Pulau Pinang.

Dibawah kerjasama ini, Hotayi akan memasang sebuah sistem imbasan wajah pekerja mereka, bersama-sama dengan sistem imbasan suhu badan, dimana kedua-duanya akan menggunakan rangkaian internet 5G U Mobile.

Menurut U Mobile, sistem imbasan wajah pekerja yang dipasang ini bukan sahaja boleh mengimbas wajah dengan pantas, tetapi akan menggunakan kecerdasan buatan untuk mengimbas riak wajah, struktur muka dan boleh mengagak umur, jantina, dan juga samada seseorang itu memakai cermin mata dan sebagainya.

Satu lagi ciri tambahan ialah pihak Hotayi juga boleh mencipta sebuah senarai hitam untuk mereka yang tidak dibenarkan masuk ke kilang-kilang, dimana sistem imbasan muka tersebut akan secara terus memberi amaran kepada pengawal keselamatan untuk tindakan lanjut.

Sistem imbasan suhu badan U Mobile pula mampu mengukur suhu 10 orang secara tepat sekaligus, dan digabungkan bersama-sama dengan sistem imbasan wajah sebelum ini untuk memberi ukuran tepat mana-mana pekerja kilang Hotayi pada masa nyata.

Jika suhu badan seorang pekerja dikesan berada di paras yang lebih tinggi daripada apa yang patut, pihak keselamatan syarikat akan diberitahu siapakah yang mempunyai suhu badan yang tinggi itu, dan pekerja tersebut boleh diarahkan pulang supaya tidak menjangkiti pekerja-pekerja lain.

Woon Ooi Yuen, Ketua Pegawai Teknologi U Mobile mengatakan bahawa ujian-ujian 5G seperti ini memberi syarikat-syarikat teknologi sebuah gambaran tentang bagaimanakah teknologi rangkaian tersebut boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh sektor pembuatan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd