Akhirnya, tidak lama lagi aplikasi Spotify untuk Android boleh memainkan muzik terus dari peranti pengguna. Fungsi ini sudah lama tersedia pada Spotify versi desktop, yang mana pengguna boleh selarikan muzik dari dalam peranti (desktop) dan mainkan di mana-mana sahaja. Dengan menyokong pada peranti Android, pengguna tidak lagi perlu pergi ke PC dan kembali ke telefon. Semuanya kini lebih mudah.

Fungsi ini mula muncul boleh dikatakan tepat pada masanya. Google Play Music yang popular dengan menyelarikan muzik dari fail MP3 pengguna ke aplikasi ditamatkan dan Spotify tiba untuk menyelamatkan pengguna. Tidak ramai pengguna Google Play Music gemar peralihan ke YouTube Music, kerana mereka sudah banyak membeli fail-fail muzik. Dengan Spotify tidak lama lagi menawarkan fungsi yang lebih kurang sama, nampak gayanya Spotify akan menarik lebih ramai bekas pengguna Google Play Music.

Buat masa ini, masih tidak pasti lagi bila fungsi ini akan tiba. Tetapi ia mungkin akan tiba dalam masa terdekat. Atau boleh juga menjadi satu fungsi terhad mengikut negara. Sama-sama kita nantikan.