HP ialah sebuah jenama komputer daripada Amerika Syarikat yang cukup dikenali orang ramai. Selain daripada membangunkan komputer untuk tujuan produktiviti, mereka juga mempunyai beberapa siri komputer dan komputer riba khusus untuk tujuan gaming.
Hari ini, HP Malaysia memperkenalkan komputer riba gaming HP Omen 15 yang hadir dengan spesifikasi gabungan Intel dan NVIDIA yang terbaru.

HP Omen 15 kini hadir dengan rekaan yang jauh lebih minimalis berbanding sebelum ini, dengan rekaan serba hitam dan juga logo Omen baru yang berbentuk permata di bahagian belakang paparan.
Bahagian papan kekunci komputer riba ini diperbuat daripada logam aluminum premium yang selesa digunakan apabila anda menaip dengan papan kekunci terbina.

Papan kekuncinya hadir dengan pencahayaan latar berwarna, tetapi jika diingini, anda juga boleh mendapatkan model yang mempunyai pencahayaan RGB untuk setiap kekunci.
HP Omen 15 dilengkapi paparan bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula sehingga 300Hz, dan dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Intel Core i5 dan Intel Core i7 siri-H generasi ke-10, menggunakan memori DDR4 dan juga pilihan storan SSD sehingga 1TB.

Tidak kira anda seorang gamer yang kasual ataupun serius, dengan HP Omen 15, anda boleh memilih untuk mendapatkan pilihan GPU NVIDIA GeForce GTX 1650, GeForce GTX 1660Ti, GeForce RTX 2060 sehinggalah GeForce RTX 2070.

Ciri-ciri tambahan yang hadir melalui HP Omen 15 ini termasuklah penggunaan sistem penyejukan Omen Tempest yang akan mengekalkan suhu komponen-komponen anda pada tahap optimal ketika anda bermain permainan kegemaran anda,
Satu lagi ciri unik pada HP Omen 15 ialah panel bahagian bawahnya boleh dibuka untuk mengakses ruang pengembangan, dimana anda boleh menaiktarafkan memori dan storan secara sendiri tanpa perlu menghantarnya ke kedai.

HP Omen 15 dengan pilihan CPU Intel generasi ke-10 dan juga kad grafik NVIDIA kini boleh didapati melalui laman web HP Malaysia ataupun kedai-kedai pengedar fizikal dan atas talian hari ini pada harga bermula RM4439.