Redmi India kini dilihat mula mengacah kehadiran peranti baharu lagi menerusi sebuah entri di Twitter. Ia bagaimanapun, tidak pula mendedahkan maklumat lanjut mengenai peranti termasuk nama modelnya secara khusus. Sebaliknya, entri tersebut hanya memperlihatkan video pendek bersama kapsyen yang menyertakan satu pautan untuk ke laman peranti berkenaan.

Hasil semakan kami menerusinya, tiada sebarang maklumat khusus berkaitan spesifikasi dan nama model yang ditemui. Ia sekadar mengacah bahawa peranti ini bakal hadir sistem kuad-kamera utama dengan sensor utama 48-Megapixel dan sokongan bateri yang baik. Biarpun belumĀ ada kepastian, namun ura-ura mengatakan ia mungkin dilancarkan sebagai Redmi 9 Power.

Dakwaan ini mungkin boleh diterima pakai. Kerana, Redmi juga dilihat menggunakan tanda tagar #RedmiPower. Selain, sekiranya anda perasan setiap satu daripada imej acah terdapat perkataan ‘Power’. Dalam perkembangan berbeza, terdapat juga dakwaan yang mengatakan ia hanyalah sebuah Redmi Note 9 4G yang dijenamakan semula. Benar atau tidak, segalanya bakal terjawab kelak.