14 Oktober 1947 ialah tarikh keramat dalam sejarah penerbangan dunia. Mejar Jeneral Charles Elwood “Chuck” Yeager menjadi manusia pertama yang berjaya menembusi batasan bunyi di dalam pesawat Bell X-1. Tokoh ternama ini telahpun menghembuskan nafas terakhir beliau hari ini pada usia 93 tahun.
Pengumuman kematian beliau dilakukan menerusi akaunTwitter rasmi beberapa jam yang lalu. Yeager memulakan kerjaya sebagai juruterbang ketika Perang Dunia Kedua dan berjaya menembak jatuh 13 pesawat Luftwaffe. Selepas perang beliau memulakan kerjaya kedua sebagai juruterbang pesawat ujian untuk Tentera Udara A.S.

Menariknya mengenai Yeager ialah beliau sebenarnya bukan pilihan pertama untuk menerbangkan Bell X-1. Juruterbang asal yang dipilih Bell menarik diri kerana keengganan syarikat membayar $150,000 untuk melakukan tugas yang berbahaya ini. Dua rusuk Yeager patah dua hari sebelum melakukan penerbangan bersejarah selepas terjatuh daripada seekor kuda. Beliau merahsiakan kecederaan kerana risau akan digantikan oleh juruterbang lain.
Antara fakta menarik lain mengenai Yeager ialah beliau memulakan trend juruterbang bercakap dengan nada rendah dan perlahan. Beliau bercakap dengan nada rendah dan perlahan untuk menunjukkan ketenangan ketika menerbangkan pesawat ujian. Sehingga kini tradisi yang dimulakan Yeager masih diteruskan semua juruterbang di dunia.