Sewaktu acara pelancaran maya HP Omen 15, HP Malaysia turut memperkenalkan sebuah lagi komputer riba gaming untuk mereka dengan keperluan yang lebih mudah.

HP Malaysia memperkenalkan HP Pavilion Gaming 15, iaitu versi gaming komputer riba HP Pavilion mereka yang masih lagi hadir dengan spesifikasi yang cukup berkuasa untuk tugasan harian dan juga menggerakkan permainan-permainan moden pada kadar yang boleh dimainkan dengan selesa.

HP Pavilion Gaming 15 ini dilengkapi dengan paparan berbingkai nipis bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz. Dikuasakan siri CPU Intel generasi ke-10, ia juga dilengkapi memori DDR4 dan menggunakan storan SSD yang sangat pantas.

Pada masa ini, HP Pavilion 15 Gaming ini hadir dengan satu pilihan GPU sahaja, iaitu NVIDIA GeForce GTX 1660Ti yang mampu menggerakkan permainan moden pada resolusi Full HD dengan gabungan tetapan sedang dan tinggi pada resolusi Full HD.

Ia juga hadir dengan sistem penyejukan komponennya sendiri yang memastikan komponen dalaman kekal pada suhu optimal apabila anda bermain permainan-permainan kegemaran anda.
Melengkapkan pengalaman menggunakan komputer riba ini juga ialah pembesar suara Bang & Olufsen yang menjanjikan pengalaman audio yang cukup lantang sekali.
Sama seperti HP Omen 15 yang kami laporkan sebelum ini, HP Pavilion Gaming 15 ini juga kini sudah mula dijual di pasaran tempatan melalui kedai atas talian HP, dan juga pengedar-pengedar jenama HP tempatan secara fizikal dan atas talian pada harga bermula RM3989.