Carian
Google Assistant Kini Boleh Mengakses Data Kalendar Dan Google Meet Dari Banyak Akaun Google
December 8, 2020 Fahim Zahar

Google Assistant sehingga hari ini adalah pembantu digital kegemaran saya. Walaupun ada iPhone di tangan, saya turut menggunakan Siri untuk mengakses Google Assistant. Di meja di pejabat ada Google Nest Hub, di rumah pula ada Google Home Mini dan di tangan ada jam Wear OS untuk akses pintas pembantu digital ini.

Tetapi masalah Google Assistant ini adalah, ia terhad kepada satu akaun untuk satu pengguna sahaja. Ini adalah berbeza dengan satu keluarga, satu peranti berhubung yang mana Google menggunakan suara untuk mengecam dan bagaimana jika seseorang itu ada akaun peribadi dan akaun kerja?

Terkini, Google Assistant sudah mempunyai akses kepada banyak akaun Google serentak. Akses ini terhad kepada Google Calendar dan Google Meet. Kini seseorang pengguna boleh selarikan lebih dari satu akaun Google untuk Google Assistant memberi peringatan tentang temu janji, mensyuarat, dan banyak lagi mengikut akaun yang berbeza.

Kini jika anda menyeru Google dan bertanya “Hey Google, how’s my schedule?” Dua sumber kalendar akan dipaparkan dari dua akaun berbeza. Fungsi ini dilihat terhad kepada beberapa pengguna sahaja, kerana ia masih lagi dalam bentuk beta. Ini bermakna Google sedang jalankan ujian A/B dan selepas stabil dan menerima maklum balas dari pengguna barulah ia akan diedarkan secara meluas dalam bentuk stabil.

Apa kata anda? Adakah ini satu ciri yang membantu atau anda rasa ini satu lagi alasan Google untuk mengakses data anda?

Komen