1More baru sahaja memasuki pasaran Malaysia pada tahun ini secara rasmi. Ia diedarkan oleh pengedar yang sama oleh pengedar Xiaomi Malaysia. Terdapat banyak pilihan produk-produk audio dari yang premium, TWS, berwayar, pembesar suara pintar atau yang murah.

Terkini, 1More Malaysia telah membawa masuk 1MORE ComfoBuds untuk pasaran tempatan. Ia adalah TWS serba baharu dengan tanda harga hanya RM189. TWS ini telah dioptimasikan oleh jurutera audio terkenal, Luca Bignardi. TWS ini adalah jenis hibrid antara rekaan terbuka dan jenis dalam telinga dengan silikon yang separa sahaja. ComfoBuds ini turut hadir dengan sokongan tambatan pantas, perlindungan IPX5 dan bateri 18 jam (gabungan berterusan dan pod pengecasan).
Pemacu audio yang digunakan adalah 13.4mm, menyokong Bluetooth 5.0, serta mempunyai kawalan sentuhan untuk pelbagai akses pintas. Rekaan juga kelihatan sedikit aneh dan unik dan berbeza dari kebanyakan TWS yang ada di pasaran. Terdapat dua warna ditawarkan, iaitu hitam dan putih.