Carian
Ulasan Realme C15 – Peranti Asas Dengan Bateri Mantap
December 9, 2020 Amy Maizuraa

Realme, Realme dan Realme. Dalam masa terdekat ini, begitu banyak peranti Realme yang ditawarkan untuk pasaran kita. Realme C11, C12 dan C17 boleh dikatakan baru sahaja dijual tempoh hari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa masuk Realme C15 pula ke Malaysia. Bukan niat untuk mengkritik. Tetapi, sebagai pengguna. Apa pandangan anda mengenai perkara ini?

Namun begitu, ini bukan tujuan utama untuk artikel ini. Sebaliknya, penulis ingin berkongsi ulasan untuk prestasi Realme C15. Bagaimana dengan keupayaannya dalam dunia nyata, dan mampukah ia memenuhi keperluan pengguna hari ini? Sebelum kita pergi jauh, adakah anda perasan rekaan pada Realme C15 tidak jauh bezanya dengan Realme C12?

Jika dilihat sekali imbas adalah agak sukar untuk kita nampak akan perbezaannya tetapi masih ada. Di mana, susunan kameranya sedikit berbeza dan kedudukan untuk LED flash turut diubah. Adakah anda ingin tahu mengenai prestasinya? Teruskan membaca sehingga ke akhir artikel.

Spesifikasi Ringkas Peranti

Realme C15
JenisPeranti Pintar
Paparan6.5″ IPS LCD HD+, Mini-drop Fullscreen
PemprosesSnapdragon 460
Cip4 x 1.8 GHz Kryo 240
4 x 1.6 GHz Kryo 240
Cip GrafikGPU Adreno 610
RAM4GB
Muatan Dalaman64 / 128GB
Kamera Utama13MP (f/2.2) – (Utama)
8MP (f/2.25) – (Ultra Lebar)
2MP (f/2.4) – (B&W)
2MP (f/2.4) – (Retro)
Kamera Depan8MP (f/2.0)
Bateri6,000mAh + Pengecasan 18W
Sim / TelefoniNano SIM + Nano SIM + MicroSD
Ketahanan Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari + Imbasan Wajah
Harga JualanBermula RM599

Paparan

Seperti kebiasaan, penulis mulakan ulasan ini dengan paparan. Skrin bersaiz 6.5-inci, panel jenis IPS LCD dan resolusi yang rendah HD+ masih digunakan oleh Realme pada model ini. Ini juga adalah spesifikasi yang sama kita boleh temui pada Realme C12 sebelum ini. Tapi boleh dikatakan, sebenarnya ini adalah saiz standard yang biasa digunakan oleh Realme untuk sejumlah peranti mereka. Bukan sahaja untuk kelas permulaan. Bahkan, pada peranti kelas pertengahan juga. Sebelum terlupa, ia juga masih menggunakan paparan dengan rekaan bertakuk kecil untuk peletakan kamera hadapan.

Sentuh mengenai kualiti paparan. Meskipun, paparannya menggunakan resolusi yang rendah. Tetapi, ia boleh dikatakan skrin yang baik. Ia tidaklah seburuk yang disangka, sebaliknya paparan masih boleh digunakan dengan selesa. Skrin dilihat mampu memberi paparan yang terang. Kemudian, sudut pandang juga baik. Mungkin ia bukanlah skrin yang paling tajam, tetapi cukup memadai untuk kegunaan aktiviti harian kita. Misalnya, anda menggunakan peranti ini untuk menonton video, menatal media sosial dan melayari web tidak mendatangkan sebarang masalah

Rekaan

Untuk rekaan pula, seperti yang penulis katakan di awal perenggan sebentar tadi. Kita boleh lihat, Realme C15 diinspirasikan daripada rekaan Realme C12. Panel belakang berasaskan plastik dengan kemasan bertekstur. Tidak cukup dengan itu, susunan modul kamera dan pengimbas cap jari juga masih sama. Tetapi, masih terdapat juga kelainannya. Di mana, kedudukan LED flash pada Realme C15 diubah sedikit dan diletakkan di luar modul kamera. Ini disebabkan oleh Realme C15 menggunakan sistem kuad-kamera utama.

Kemasan tekstur berjalur yang digunakan juga masih sama seperti Realme C12. Ia dilengkapi rekaan berbentuk zig-zag dengan membahagikan panel ini kepada tiga bahagian dengan corak berbeza. Seperti Realme C12, perkara yang penulis suka mengenai kemasan ini adalah tiada langsung masalah kotor dengan kesan cap jari. Memang perlu diakui, binaannya yang kukuh membuatkan ia terasa selesa sahaja apabila di dalam genggaman tangan. Tetapi, jika anda benar-benar menjaga barang dengan cermat. Atau mungkin, mahu mengelakkan peranti daripada terkena kotor atau calar halus. Anda boleh menggunakan kerangka plastik yang diberikan secara percuma menerusi kotak pembelian.

Meskipun pada mulanya penulis katakan ia selesa sahaja untuk dipegang. Masih ada seperkara yang mungkin kurang menyenangkan untuk anda tahu. Rekaan pada peranti ini agak tebal dan ianya berat. Ini mungkin disebabkan oleh penggunaan bateri yang besar padanya. Penulis akan mengulas lebih lanjut berkaitan prestasinya sebentar lagi.

Untuk rekaan bahagian sisi, ia menempatkan butang kuasa dam latas suara di bahagian kanan. Manakala, slot untuk SIM pula pada sisi bertentangan. Slot SIM ini turut menawarkan ruangan yang berasingan, sekaligus membolehkan pengguna menggunakan dua SIM berbeza sepenuhnya tanpa perlu dikongsikan dengan microSD. Seterusnya, kita juga boleh temui bicu audio 3.5mm, port sambungan mikro-USB dan pembesar suara berasaskan mono pada bahagian bawah.

Ia turut menyokong pengimbas cap jari fizikal yang ditempatkan pada panel belakang. Selain, turut menyertakan sistem imbasan wajah untuk kegunaan yang lebih mudah. Prestasi untuk kedua-dua dilihat memberi tindak balas yang pantas. Tetapi, anda disarankan untuk menggunakan sistem imbasan wajah untuk proses menyahkunci peranti lebih mudah.

Prestasi

Realme C15 menggunakan cip pemproses Snapdragon 460. Ia merupakan cip lapan teras yang menggunakan binaan berasaskan 11nm. Selain, turut dilengkapi GPU Adreno 610. Untuk memori, ia dibekalkan RAM 4GB dan pilihan storan 64 /128GB. Penulis juga sempat menjalankan beberapa ujian penanda aras pada peranti seperti Antutu dan Geekbench. Ia memperlihatkan peranti ini berjaya meraih sebanyak 142,874 mata untuk ujian Antutu. Manakala, 255 mata untuk ujian satu teras dan 1,254 mata untuk ujian pelbagai teras di Geekbench.

Jika anda perasan, ini adalah cip yang sama digunakan oleh Oppo A53 dan Vivo Y20s. Tetapi harga penawaran untuk kedua-dua peranti ini dilihat sedikit tinggi berbanding Realme C15. Ia mungkin disebabkan oleh sokongan memori yang berbeza. Tetapi, Realme C15 sebenarnya turut hadir dengan varian tertinggi 128GB berharga RM699. Tetapi, masih belum ditawarkan lagi untuk pasaran Malaysia.

Pada pandangan penulis, Realme C15 boleh dikatakan sesuai untuk pengguna yang tidak menggunakan peranti secara kerap. Pada awalnya, ia dilihat mampu menggalas prestasi harian dengan lancar – terutama ketika menggunakan aplikasi media sosial, aplikasi pemesejan dan pelayar web. Boleh dikatakan pengalaman penggunaan peranti terasa memuaskan.

Tetapi ini tidak bermakna anda boleh meletakkan harapan yang tinggi pada peranti ini. Sebabnya, kami mula perasan adanya masalah sela masa yang berlaku apabila aplikasi dibuka dengan banyak. Bukan itu sahaja, peralihan daripada satu aplikasi ke aplikasi yang lain juga dilihat sedikit perlahan dan tersangkut-sangkut.

Meskipun begitu, ia masih dilihat mampu memainkan sejumlah permainan mudah alih (permua) dengan baik. Pengalaman permainan yang selesa juga boleh dirasai menerusi tetapan grafik asas. Tetapi, seandainya anda jenis memfokuskan permua secara ekstrem. Perlu penulis katakan, ia bukan peranti yang sesuai untuk anda. Tetapi, ia lebih sesuai untuk sekadar berseronok sahaja.

Kamera

Sistem kuad-kamera utama digunakan di sini. Konfigurasi kamera ini terdiri dengan 13-Megapixel untuk sensor utama. Kemudian, ia turut disertakan dengan sensor 8-Megapixel untuk sokongan ultra-lebar. Seterusnya, dua lagi lensa 2-Megapixel untuk sensor monokrom dan retro. Kamera ini juga mampu merakam video dengan tetapan tertinggi 1080p/30fps. Selain juga disertakan sejumlah aplikasi kamera asas terbina seperti mod malam, mod profesional, chrome boost, mod sudut-lebar, mod kecantikan, HDR, panorama, portrait dan timelapse. Kamera hadapan pula, ia menggunakan lensa yang lebih besar berbanding Realme C12 menerusi sensor 8-Megapixel.

Dari segi pretasi, ia nampak baik untuk kebanyakan situasi harian. Dilihat mampu memberi hasil yang baik selagi ia menerima pencahayaan yang mencukupi. Begitu juga dengan hasil gambar ultra-lebar. Mungkin ia dilihat tidaklah sehebat mana. Namun, ia mampu memberi hasil yang boleh dikatakan baik. Kemudian, sudut pandang juga luas sehingga 119 darjah. Cumanya, masih terdapat juga aspek kualiti yang perlu diperbaiki terutama untuk kesan herotan pada subjek.

Bagaimanapun, kami tidak berpuas hati dengan penghasilan gambar malam yang diambil daripada peranti ini. Hasilnya boleh dikatakan cukup mengecewakan kami. Sepertimana yang boleh anda lihat sendiri, gambarnya dilihat tidak berkualiti. Ia memberikan masalah hingar yang sangat ketara. Kemudian, mod malam khususnya di sini juga dilihat gagal memberi output yang baik. Hasil kamera hadapan pula dilihat baik-bak sahaja untuk pencahayaan yang cukup. Mod portrait juga menghasilkan gambar dengan butiran yang memuaskan, meskipun ia tidaklah begitu sempurna.

Bateri

Akhir sekali bateri. Realme C15 membawakan kapasiti bateri yang sama dengan Realme C12 – melalui kapasiti bateri 6,000mAh. Ia bagaimanapun dilihat berbeza dari segi pengecasan – di mana, pengecasan pantas 18W digunakan di sini. Dari segi ketahanan, ia dilihat mampu memberi masa penggunaan peranti yang panjang. Realme C15 mampu mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang sangat baik, melalui bacaan SoT sekitar 10 jam untuk penggunaan sepanjang hari. Ia bagaimanapun mungkin akan berbeza mengikut corak penggunaan masing-masing. Apa-apapun, ia masih boleh dikatakan satu hal yang memuaskan.

Hebat pada ketahanan, tidak bermakna hebat juga untuk proses pengecasan semula. Meskipun, pengecasan yang digunakan lebih pantas berbanding Realme C12. Tetapi, terdapat juga perkara yang mengecewakan apabila peranti ini masih menggunakan port jenis mikro-USB berbanding USB-C. Melaluinya, Realme nampaknya masih di takuk lama. Sedangkan, kita sendiri boleh lihat sudah banyak peranti dalam kelas setanding yang menggunakan port USB-C. Tetapi, Realme masih di takuk lama. Jadi, seandainya Realme menggunakan port jenis USB-C mungkin peranti ini akan lebih baik.

Masa pengecasan semula juga tidak begitu baik dan masa yang diambil juga lama. Di mana, ia mengambil masa sekitar 3 jam lebih untuk penuh dari kapasiti bateri 3% hingga 100%.

Perbandingan Pesaing Peranti

Realme C15Poco M3Oppo A53
6.5″ IPS LCD, 720 x 1600, 60Hz (270 PPI)6.53″ IPS LCD, 1080 x 2340, 60Hz (395 PPI)6.5″ IPS LCD, 720 x 1600, 90Hz (269PPI)
Snapdragon 460 (11 nm)
4 x 1.8 GHz Kryo 240
4 x 1.6 GHz Kryo 240
Snapdragon 662 (11 nm)
4 x 2.0 GHz Kryo 260 Gold
4 x 1.8 GHz Kryo 260 Silver
Snapdragon 460 (11 nm)
4 x 1.8 GHz Kryo 240
4 x 1.6 GHz Kryo 240
Adreno 610Adreno 610Adreno 610
4 Gigabyte4 Gigabyte4 Gigabyte
64 / 128 Gigabyte64 / 128 Gigabyte64 Gigabyte
Kamera Utama :
13MP (f/2.2) – (Utama)
8MP (f/2.25) – (Ultra Lebar)
2MP (f/2.4) – (B&W)
2MP (f/2.4) – (Retro)
Kamera Utama :
48 MP (f/1.8) – (Lebar)
2 MP (f/2.4) – (Makro)
2 MP (f/2.4) – (Kedalaman)
Kamera Utama :
13MP (f/2.2) – (Utama)
2MP (f/2.4) – (Kedalaman)
2MP (f/2.4) – (Makro)
Kamera Hadapan
8-Megapixel (f/2.0)
Kamera Hadapan
8-Megapixel f/2.1
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.0
Tiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis Air
Bicu Audio 3.5mmBicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Seagull Silver, Marine BlueCool Blue, Poco Yellow, Power BlackElectric Black, Fancy Blue
6,000mAh (Pengecasan 18W)6,000mAh (Pengecasan 18W)5,000mAh (Pengecasan 10W)
Bermula RM599Bermula RM599RM699

Kesimpulan

Apa yang disimpulkan di sini, Realme C15 adalah sesuai juga untuk pengguna yang kasual tetapi tidak menggunakan peranti secara kerap. Ia juga boleh dikatakan sesuai dijadikan sebagai peranti sandaran. Atau mungkin, dihadiahkan kepada ibu bapa ekoran kebanyakan antara mereka lebih menggunakan peranti hanya untuk aplikasi pemesejan. Misalnya seperti WhatsApp.

Tetapi seandainya anda mahukan alternatif lain yang mungkin lebih berbaloi. Poco M3 mungkin salah sebuah model yang boleh dijadikan alternatif yang baik. Ia dijual pada harga lebih rendah dan spesifikasi disertakan juga nampak lebih berbaloi. Bagaimanapun, pilihan di tangan masing-masing. Jadilah pengguna yang bijak.

Pro :

  • Binaan yang kukuh, kemasan menarik
  • Sekadar baik untuk kegunaan harian, bukan permua
  • Kapasiti bateri besar, pengecasan lebih baik
  • Kamera baik pada pencahayaan cukup

Kontra :

  • Hadir dengan binaan polikarbonat
  • Resolusi skrin hanya HD+
  • Masih menggunakan sambungan mikro-USB
  • Mod penggambaran malam yang mengecewakan
Komen