Cari @ Amanz

Apple hari ini telah memperkenalkan fon kepala mereka yang dinantikan ramai, dinamakan sebagai AirPods Max. Fon kepala ini akan melengkapkan lagi produk audio dibawah Apple yang sedia dengan penawaran fon telinga AirPods dan juga AirPods Pro.

AirPods Max ini merupakan fon kepala yang pertama dibawah jenama Apple (selain Beats), dan turut hadir dengan sokongan pembatalan bunyi hingar. Fon kepala ini dilengkapi cip Apple H1 untuk menawarkan sejumlah ciri-ciri ini, termasuk seperti Transparency Mode, Spatial Audio, Adaptive EQ dan sebagainya. Apple turut menjanjikan kualiti audio yang baik melaluinya – menawarkan pengalaman seumpama di teater.

AirPods Max ini turut mengintegrasikan elemen Digital Crown dari Apple Watch untuk memudahkan anda mengawal kekuatan bunyi, melangkau lagu, atau untuk menjawab panggilan suara. 

Apple menawarkan Apple AirPods Max ini dalam lima pilihan warna, termasuk biru, merah dan hijau selain putih dan hitam. Untuk menghubungkan ke peranti, pengguna boleh lakukannya secara nirwayar sama seperti keluarga AirPods yang lain.

Dengan penyertaan Apple dalam pasaran fon kepala premium ini, ia sekaligus membuatkan Apple bersaing dengan Sony dan Bose dalam arena sama.

Apple mengatakan fon kepala AirPods Max ini menawarkan masa mendengar lagu sehingga 20 jam, dan ia boleh dicas menggunakan pengecas Lightning yang digunakan pada iPhone.

Di Malaysia, AirPods Max ini ditawarkan pada harga RM2399. Tetapi, tarikh penawarannya masih tidak diketahui lagi buat masa ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd