Apple Dan Cloudflare Bekerjasama Untuk Protokol Internet Baharu Yang Memfokuskan Privasi

Apple Dan Cloudflare Bekerjasama Untuk Protokol Internet Baharu Yang Memfokuskan Privasi

Diterbitkan pada Dis 9, 2020 oleh .

Tahukah anda setiap kali anda melayari sesebuah laman web, pelayar web yang anda gunakan akan menggunakan pelerai DNS untuk mengubah laman web menjadi alamat IP yang boleh dibaca agar boleh mengenalpasti di manakah laman web itu sedang dilayari. Data ini biasanya boleh dilihat oleh syarikat pembekal perkhidmatan Internet.

Dari situ, hadir DNS-over-HTTPS atau DoH. Tetapi, ia hanya menyulitkan pelerai DNS ini agar pengguna dilindungi dari penggodam ataupun melindungi pengguna dari laman-laman web hasad. Tetapi pembekal perkhidmatan Internet masih boleh mengakses data ini dan mungkin data ini akan dijual kepada pengiklan. Disebabkan itu, Apple hadir dengan protokol Internet baharu yang dinamakan sebagai Oblivious DNS-over-HTTPS atau ODoH.

Apple telah bekerjasama dengan Cloudflare untuk merealisasikan perkara ini. Apa yang ODoH lakukan adalah memisahkan pertanyaan DNS dengan pelerai DNS tadi. Secara tidak langsung semua informasi dan data ini disulitkan. ODoH menghasilkan satu lapisan penyulitan pada pertanyaan DNS melalui pelayan proksi dan menjadi perantara pengguna dan laman web yang dilayari. Disebabkan pertanyaan DNS ini disulitkan, tiada sesiapa dapat mengakses informasinya.

ODoH sudah pun boleh digunakan melalui pelerai DNS 1.1.1.1 dari Cloudflare. Tetapi ia masih lagi terhad. Ia hanya boleh digunakan oleh ramai apabila ODoH diintegrasikan dalam sistem operasi atau pelayar web yang mana boleh mengambil masa yang agak lama sehingga ia dijadikan sebagai satu piawaian baru. Selagi Google tidak mengintegrasikan ODoH dalam Chrome atau Android dan Apple tidak mengemaskini iOS atau Safari – ODoH ini tidak boleh digunakan oleh orang ramai. Sama-sama kita nantikan.



Paling Popular