Acer Swift 5 ialah model komputer riba nipis dan ringan keluaran Acer yang biasanya hadir dengan pilihan CPU Intel terbaru, dan dengan versi terkini Swift 5 ini,
Sama seperti model-model sebelum ini, Acer Swift 5 hadir dengan rekaan rangka luaran yang diperbuat daripada aloi magnesium yang membolehkannya hadir dengan berat kurang dari 1KG dan senipis 14.59mm sahaja.

Lebih menarik lagi, bahagian permukaan dan paparan komputer riba ini dilitupi dengan bahan anti-mikrobial yang membantu membasmi kuman apabila anda menggunakan komputer riba ini dengan tangan anda.

Dari segi spesifikasi dalaman, Acer Swift 5 terbaru ini hadir dengan paparan boleh-sentuh IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD.
Ia juga dikuasakan oleh CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake, termasuklah Intel Core i5-1135G7 ataupun Intel Core i7-1165G7, memori DDR4 sebanyak 8GB ataupun 16GB dan juga storan SSD NVME sebesar 512GB.

Spesifikasi terbina ini bermakna bahawa Acer Swift 5 adalah diantara laptop pertama di pasaran tempatan yang hadir dengan pengiktirafan sebagai sebuah peranti Intel Evo, iaitu generasi terbaru siri Ultrabook yang menggunakan CPU Intel.

Dari segi port I/O, Acer Swift 5 dilengkapi dua port USB 3.2 Type A, satu port Thunderbolt 4, satu palam HDMI dan satu port audio 3.5mm. Dari segi ciri-ciri tambahan, ia dilengkapi dengan sokongan untuk sambungan nirwayar WiFi 6 dan Bluetooth 5.0.

Dari segi bateri, Acer mengatakan bahawa dengan satu pengecasan penuh, komputer Swift 5 ini boleh bertahan selama 15 jam, bergantung kepada cara penggunaan.
Sebagai tambahan, Acer Swift 5 ini turut dilengkapi dengan perisian produktiviti pejabat Microsoft Office Home & Student 2019 secara percuma.
Acer Malaysia berkata bahawa Acer Swift 5 terbaru ini sudahpun mula ditawarkan di pasaran tempatan, pada harga RM3999 untuk model yang dikuasakan CPU Intel Core i5-1135G7 dengan memori 8GB dan RM4999 untuk model yang dikuasakan CPU Intel Core i7-1165G7 dengan 16GB RAM.