Cari @ Amanz

Sebelum ini kami telah melaporkan bahawa Acer Malaysia telah membawa masuk siri komputer Acer Swift 3x mereka yang dikuasakan oleh gabungan CPU Intel Tiger Lake dan juga cip pemprosesan grafik Intel Iris Xe MAX yang terbaru.

Bagi anda yang menginginkan sebuah komputer riba yang lebih mesra dompet, tetapi juga mahukan kuasa perkomputeran yang hampir setaraf dengan model tersebut, Acer Malaysia turut mengumumkan kehadiran Acer Swift 3 yang dikuasakan oleh CPU Intel Tiger Lake.

Acer Swift 3 ini hadir dengan paparan IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD yang dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i5-1135G7 ataupun Intel Core i7-1165G7, dengan memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan SSD NVMe sebesar 512GB.

Dari segi rekaan, rangka Acer Swift 3 diperbuat daripada gabungan aluminum dan magnesium, dimana beratnya adalah sekitar 1.2kg dengan ketebalan peranti pada 15.95mm sahaja.

Dari segi port I/O, Acer Swift 3 ini dilengkapi satu port USB 2.0 Type-A, satu port USB 3.2 Type-A, satu port Thunderbolt 4, satu port HDMI dan satu port audio 3.5mm.

Dari segi jangkahayat bateri, Acer mengatakan bahawa Swift 3 mempunyai jangkahayat bateri selama 11 jam dengan satu pengecasan penuh, bergantung kepada corak penggunaan.

Sama seperti Acer Swift 5 yang kami laporkan sebelum ini, Acer Swift 3 juga sudahpun hadir di pasaran tempatan bermula hari ini. Model yang dikuasakan CPU Intel Core i5-1135G7 boleh didapati pada harga RM3299, manakala model yang dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-1165G7 berharga RM4199.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd