Tidak kira anda menggunakan komputer desktop ataupun komputer riba, penggunaan paparan skrin yang berkualiti akan mengubah pengalaman menggunakan komputer anda dengan ketara.
Acer Malaysia hari ini mengumumkan kehadiran dua paparan skrin baru ke pasaran tempatan untuk dua tujuan berbeza, iaitu Acer CB342CK C dan juga Predator XB273U GX.
Bermula dengan Acer CB342CK C, paparan skrin ini dilengkapi dengan panel IPS sebesar 34 inci dan mempunyai resolusi QHD 2560×1440 pixel. Paparan ini dibina khusus untuk pereka profesional dimana ia hadir dengan sokongan untuk 99 peratus daripada gamut warna sRGB.
Jika anda sedang berbincan dengan rekan kerja dihadapan komputer anda, sudut penglihatan tepat 178 darjah supaya warna dan rekaan kelihatan tepat seperti anda sedang memandang terus pada paparan skrin ini.
Teknologi rangka ZeroFrame keluaran Acer juga digunakan dalam pembangunan paparan ini supaya keseluruhan paparan Acer CB342CK C ini digunakan untuk menayangkan skrin sepenuhnya, dan jika anda menggunakan setup multi-paparan, ia seakan-akan tiada perpisahan diantara paparan-paparan ini.
Lebih menarik lagi, paparan Acer CB342CK C ini juga hadir dengan pengecasan Power Delivery melalui kabel USB Type-C yang boleh mengecas sebuah komputer riba dan melanjutkan skrin ke paparan tersebut.
Bergantung kepada cara penggunaan, tapak Acer ErgoStand membolehkan anda memusing paparan skrin ini untuk digunakan secara menegak tanpa masalah.
Jika anda seseorang yang bekerja memandang paparan skrin sepanjang masa, ia juga hadir dengan ciri-ciri Acer BlueLight Shield, Acer Flicker-less, Acer ComfyView dan Low Dimming untuk mengelakkan mata anda dari masalah silau dan pening kepala.
Jika anda baru sahaja menaiktarafkan komputer ataupun membeli komputer baru dengan komponen-komponen yang berkuasa keluaran AMD, Intel ataupun NVIDIA, anda pasti memerlukan sebuah paparan skrin baru untuk memanfaatkan komponen-komponen ini.
Predator XB273U GX dilengkapi dengan sebuah paparan skrin Agile Splendor IPS dengan kadar segar semula setinggi 270Hz selepas dilewahjam.
Ia juga mempunyai lengah masa serendah 1ms dan menyokong teknologi-teknologi paparan seperti NVIDIA G-SYNC, VESA HDR 400 dan juga DisplayHDR. Ia turut menyokong 99 peratus gamut warna Adobe RGB dengan Delta E<2.
Lebih menarik lagi, paparan Predator XB273U GX ini hadir dengan sokongan pengecasan Power Delivery melalui kabel USB setinggi 65W yang boleh digunakan untuk mengecas sebuah komputer riba, disamping melanjutkan paparan kepada paparan Predator ini.
Menurut Acer Malaysia, paparan Predator XB273U GX ini sudahpun tiba di pasaran tempatan pada harga RM3299, manakala paparan skrin Acer CB342CK C akan tiba pada penghujung bulan Disember ini pada harga RM1899.