Ulasan Realme Buds Air Pro – Benarkah Pro, Atau Hanya Gimik?

Ulasan Realme Buds Air Pro – Benarkah Pro, Atau Hanya Gimik?

Diterbitkan pada Dis 10, 2020 oleh .

Realme tahun ini telah menyertai arena audio dengan melancarkan sejumlah aksesori audio. Boleh dikatakan hampir kesemua barisan aksesori audio telah mereka perkenalkan, dari TWS, ke jenis yang neckband dan juga berwayar. Ada yang bagus dan menarik, ada yang gimik dan ada juga yang murah.

Tetapi adakah apa yang Realme hasilkan benar-benar bagus? Realme adalah syarikat di bawah naungan Oppo, yang mana Oppo mempunyai banyak pengalaman dalam bidang audio – jadi tidak terkejut kalau Realme hadir dengan aksesori yang berkualiti. Tetapi setakat ini seakan tiada. Semua TWS mereka mempunyai kualiti audio yang tidak mengejutkan. Ia seakan jenama dari China yang ditukar ke Realme, sehinggakan ramai pengguna di Malaysia turut tertipu dengan produk klon Realme kerana kelihatan sama.

Terikini, mereka hadir dengan variasi Pro pula. Jika nama Pro, adakah ia untuk pengguna profesional atau hanya sekadar nama? Ini adalah ulasan Realme Buds Air Pro saya. Adakah pembatalan hingar aktif ini gimik atau benar-benar berfungsi dan adakah ia benar-benar Pro?


Spesifikasi & Rekaan

Realme Buds Air Pro ini adalah satu lagi TWS yang berani saya katakan adalah klon kepada AirPods dari Apple. Kali ini Realme menggabungkan rekaan AirPods Pro dengan AirPods biasa untuk memperlihatkan rekaan yang sedikit unik, sambil jelas lagi nyata inspirasinya adalah Apple. Bahan binaan adalah plastik dengan kemasan yang berkilat. Tetapi ia tidak begitu licin dan mempunyai kemasan yang baik.

Kedua-dua fon telinga di bahagian utama dilihat menggunakan rekaan AirPods Pro, iaitu bujur yang tebal dan digabungkan dengan tangkai seakan AirPods tetapi lebih leper dan petak. Rekaan ini adalah rekaan yang sangat bosan dan langsung tidak kreatif. Tetapi syukur, ia sangat selesa di dalam telinga dan sangat ringan. Setiap fon telinga adalah 5g sahaja. Jika sudah lama memakainya, seakan tiada apa-apa di dalam telinga.

Pod pengecasan juga cukup ringan dengan kemasan yang sama. Walaupun rekaan yang digunakan adalah tersendiri, ia mempunyai pengalaman buka tutup penutupnya seakan AirPods. Ia berkualiti dan dibina dengan baik. Tidak terasa murah. Tetapi unit yang kami terima adalah berwarna putih dan ia amat mudah menangkap kotoran habuk dan daki.

Cip Bluetooth yang digunakan adalah jenis 5.0, pemacu audio adalah 10m dengan sokongan codec SBC dan AAC. Realme Buds Air Pro turut mempunyai sensor ambien untuk auto jeda apabila ia dikeluarkan dari telinga. Ia juga adalah TWS yang menyokong pembatalan hingar aktif. Bukan itu sahaja, ia turut mempunyai perlindungan IPX4 dan mempunyai kawalan sentuhan untuk mudah membuat kawalan. Pilihan warna lain yang ditawarkan Realme adalah yang berwarna hitam.

Kualiti Audio

Perkara yang paling saya tidak sabar untuk uji adalah sokongan pembatalan hingar aktif. Kebanyakan jenama China yang berlebih-lebihan mempromosikan sesuatu fungsi, biasanya gimik sahaja. Pada Realme Buds Air Pro ini, ternyata benar yang ANC adalah gimik dan seakan tidak berfungsi langsung. Pertama sekali, ia hanya membatalkan hingar frekuensi yang terpilih sahaja. Sekadar angin yang ringan atau bunyi enjin kereta yang jauh dari diri saya.

Suara rakan pekerja sedang berbual, bersiul, petik jari – semuanya boleh didengari yang jelas. Ini bermakna, tidak kira aktifkan mod pembatalan hingar atau mod Transparency ia sama sahaja seakan tiada beza.

Untuk bass, ia hanya biasa-biasa sahaja. Tetapi jika dibandingkan dengan TWS seperti OnePlus Buds Z, bass pada TWS Realme ini adalah lebih baik. Bass pada TWS ini terlampau asas dan seakan bass digital yang dihasilkan dari perisian. Ia tidak dalam, tidak mempunyai dentuman yang baik dan sekadar ada sahaja. Paling mengecewakan adalah, muzik yang memfokuskan vokal mempunyai bass yang tidak diingini.

Untuk vokal, iaitu mid – ia seakan tenggelam dan berdengung. Ia tidak begitu enak, tetapi vokal boleh didengari dengan jelas dan terlampau jelas sehinggakan seakan tiada sebarang butiran yang menjadikan ia tidak seronok untuk mendengar muzik. Vokal tiada sebarang butiran atau kesan seperti “suara dari perut” dan seakan diproses menjadi suara digital. Suara yang didengari tidak natural dan penyampaian vokal itu tipis.

Untuk nada tinggi, high – ia jelas tetapi tidak menyerlah. Tidak semua instrumen boleh didengari dengan jelas seperti simbal. Bass yang kurang berkualiti tadi menenggelamkan kesan bunyi nada tinggi yang sepatutnya baik ini. Di dalam aplikasi Realme Link, ada pilihan Bass Boost – yang mana tidak digalakkan untuk diaktifkan kerana kualiti audio terus menjadi tidak sedap.

Menjadikan Realme Buds Air Pro ini “Pro” adalah ia mempunyai profil pementasan audio yang memfokuskan kepada vokal. Walaupun vokal diganggu dengan bass, vokal adalah jelas. Pementasan audio TWS ini adakah untuk muzik-muzik yang kurang instrumen kerana jika muzik yang banyak instrumen – ia kedengaran begitu semak dan bising kerana tidak dapat mengasingkan antara instrumen.

Ketahanan Bateri

Sepanjang saya menggunakan mana-mana TWS, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan bateri. Bateri pada Realme Buds Air Pro ini baik-baik sahaja. Realme mendakwa dapat memperoleh ketahanan selama 20 jam dengan aras suara 50% dan ANC bersama-sama pod pengecasan dan mencapai 25 jam tanpa ANC. Tetapi aras suazra 50% bukanlah kegemaran saya kerana agak perlahan. Saya gemar mendengar pada kadar 60%-70%.

kemudian 5 jam jika berterusan dengan ANC dan bokeh mencapai 6 jam tanpa ANC dan turut sama aras audio 50%. Ujian yang saya lakukan ia menerima ketahanan bateri yang bagus sekali. Walaupun sudah seminggu menggunakannya dengan setiap hari sekitar 30 minit sehingga 1 jam pendengaran, apa yang boleh saya katakan ketahanan baterinya memang tahan lama.

Cuma yang saya tidak gemar adalah setiap satu fon telinga mempunyai penurunan bateri yang tidak konsisten. Sedangkan saya sentiasa menggunakan mod stereo dan mendengar muzik yang sama. Agak pelik bagaimana perkara ini boleh berlaku. Masa pengecasan adalah 2 jam untuk 0% ke 100% dan boleh bertahan selama 3 jam jika mengecas selama 10 minit.

Kawalan & Fungsi Pintar

Agak kelakar yang Realme memasukkan TWS ini di dalam kategori AIoT sebagai salah satu ekosistem peranti berhubung. Tetapi hakikatnya, Realme Buds Air Pro ini langsung tidak pintar. Saya cuba tambatkan pada peranti terbaru Realme, tetapi gagal banyak kali jika menggunakan aplikasi Realme Link. Di iPhone hanya mod Bluetooth biasa sahaja, aplikasi iOS tidak menyokong TWS.

Apa yang menarik adalah, Realme Buds Air Pro ini dikenalpasti oleh Google kerana mana-mana peranti Android yang ada GMS menyokong tambatan pantas Fast Pair. Saya gunakan pada Huawei P20 Pro lebih pantas dari peranti Realme sendiri untuk tambat. Dalam aplikasi, ia mempunyai beberapa pilihan seperti mengaktifkan mod ANC, mod Tranparency, Bass Boos, mengubah kawalan sentuhan dan juga mengaktifkan mod masa pendam rendah untuk permua.

Aplikasinya mudah digunakan dan ringkas. Mod masa pendam rendah benar-benar berfungsi, tetapi tidak begitu menarik kerana ada sedikit sela masa. Kawalan sentuhan juga agak dungu dengan kawalan yang sangat terhad.

Kesimpulan

Realme Buds Air Pro ini adalah set TWS yang penuh dengan gimik. Hanya dengan mempromosikan ia mempunyai sokongan ANC, Realme boleh jual pada harga yang agak mahal. Tetapi percayalah kata saya, jangan beli TWS ini kerana ANC. ANC yang ada pada TWS ini adalah gimik, tidak berfungsi dan lebih baik beli TWS yang lain.

Harga jualan RM369 untuk TWS yang menyokong ANC kedengaran seakan baik bukan? Tetapi tidak. Walaupun pada harga promosi RM299, TWS ini tidak berbaloi untuk dimiliki. Berani saya katakan yang Tronsmart Apollo Bold adalah lebih baik.

Saya gemar yang Realme berusaha bersungguh-sungguh untuk memasuki arena audio, tetapi jika ingin hasilkan produk audio – tawarkan dengan fungsi yang sebenar bukannya perkara yang tidak berfungsi dan membuat dakwaan yang gempak. Ini adalah antara TWS yang paling mengecewakan untuk digunakan. Sudahlah ada masalah dengan tambatan pada peranti Realme sendiri.

Realme Buds Air Pro ini tidak dapat untuk saya cadangkan kepada orang ramai kerana ia memberikan pengalaman yang tidak menyeronokkan. Audio juga tidak sehebat mana, malah pada harga mencapai lebih RM300 sepatutnya versi Pro adalah jauh lebih baik dari Realme Buds Air.

Jadi siapa yang patut memiliki Realme Buds Air Pro ini? Ia adalah untuk peminat tegar Realme sahaja. Jika anda inginkan bass yang lebih baik dari Realme Buds Air biasa dan pengasingan bunyi yang lebih baik – ini untuk anda. Percayalah, di luar sana ada lagi banyak pilihan yang baik. Jika anda ingin fungsi ANC yang benar-benar berfungsi – Sony WF-1000XM3 sudah boleh didapati pada harga RM500-RM600 dan percayalah perbelanjaan ke TWS ini 100% lebih berbaloi.

Pro

  • Kualiti binaan yang kukuh
  • Mempunyai ketahanan bateri yang baik
  • Sangat selesa di dalam telinga dan ringan

Kontra

  • ANC yang seakan tidak berfungsi dan adalah gimik semata-mata
  • Bass yang terlebih-lebih
  • Masalah tambatan kerap berlaku
  • Kawalan sentuhan kurang sensitif
  • Harga yang mahal

TIPS & ULASAN