Tahun 2020 adalah tahun Realme, kenapa? Terlampau banyak produk yang Realme lancarkan pada tahun ini. Daripada peranti mercu, pelbagai peranti kelas pertengahan, banyak pilihan peranti kelas asas, “jam tangan pintar” pertama mereka, berus gigi dan banyak lagi produk-produk AIoT. Telefon-telefon pintar Realme adalah antara yang mengelirukan, kerana terlampau banyak dan ada di antaranya adalah lebih kurang sama.
Tetapi, peranti terbaru mereka yang memasuki pasaran tempatan baru-baru ini – Realme 7 5G adalah lain daripada yang lain. Pertama, ia adalah telefon pintar pertama di Malaysia yang dijana dengan cip MediaTek dari siri Dimensity. Kedua, selepas mengujinya dalam tempoh yang singkat saya dapat katakan Realme 7 5G adalah pencabar OnePlus Nord sebenar. Saya kurang meminati peranti Realme kerana banyak gimik, tetapi Realme 7 5G ini sedikit berbeza.
Spesifikasi Dan Rekaan
Realme 7 5G | |
---|---|
Skrin | 6.5″ IPS LCD, FHD+, 1080 x 2400, 120Hz |
Pemproses | MediaTek Dimensity 800U 5G (7nm) |
Cip | 2 x 2.4 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G57 MC3 |
RAM | 6/8 GB |
Muatan Dalaman | 128GB UFS 2.1 |
Kamera Utama | 48 + 8 + 2 + 2 Megapixel f/1.8 + f/2.3 + f/2.4 + f/2.4 Utama, Ultra Lebar |
Kamera Swafoto | 16 Megapixel f/2.1 |
Bateri | 5000mAh Pengecasan berwayar 30W |
SIM/Telefoni | Dwi-Sim Hibrid, 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas Cap Jari Di Sisi |
Harga Jualan | Belum Diketahui |
Realme 7 5G menggunakan rekaan yang hampir sama dengan Realme 7 biasa, kecuali sedikit perubahan pada modul kamera. Panel belakang dan kerangka diperbuat daripada plastik, tetapi ia rasa kukuh dan selesa di dalam tangan. Ia tidak terasa seperti peranti murah dan tidak rasa seperti memegang peranti plastik. Ia juga mempunyai berat yang baik dan yang paling penting tidak licin.
Modul kamera adalah segi empat, dengan tiga lensa menegak ke bawah dan satu lensa di bahagian atas bersebelahan lensa sudut ultra lebar. Kanan peranti hanya ada butang kuasa yang juga adalah pengimbas cap jari dan kiri pula adalah butang aras suara dan slot kad SIM. Di atas hanya ada mikrofon bawah kekisi pembesar suara, port USB-C, satu lagi lubang mikrofon dan juga lubang bicu audio 3.5mm.
Untuk sebuah peranti kelas pertengahan, ini adalah rekaan klise dan bosan. Tetapi disebabkan binaan yang kukuh, saya maafkan rekaan sebegini. Pada hemat saya peranti ini mempunyai lebih keselesaan berbanding OnePlus Nord.
Pengalaman Penggunaan
Realme 7 5G dijana dengan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 800U. Ini adalah kali pertama peranti dengan cip ini memasuki pasaran tempatan. Cip ini adalah cip kelas pertengahan premium yang bersaing dengan Snapdragon 765G. Sebagai seorang yang kurang menggemari jenama Realme, kerana antaramuka yang tidak sedikit sukar untuk digunakan, kemaskini yang sedikit lambat, kamera yang biasa-biasa sahaja serta terlampau banyak gimik – saya boleh maafkan semua itu dan menggemari peranti ini.
Prestasi pada peranti ini adalah mengejutkan baik sekali. Sepanjang penggunaan, apabila menatal ke atas, bawah, kiri dan kanan – langsung tiada lengah masa. Peralihan animasi juga pantas. Buka atau tutup atau bertukar antara aplikasi juga laju. Ini tidak mustahil kerana, skrin peranti ini turut menyokong kadar segar semula 120Hz dan mempunyai fungsi beta Realme Labs untuk pengalaman tatalan yang lebih baik.
Kali ini, kadar segar semula 120Hz bukan sekadar gimik. Tetapi benar-benar berfungsi dan percayalah kata-kata saya ini, ia benar-benar lancar dan laju ibarat menggunakan peranti mercu. Bermain permua seperti Asphalt 9 juga menarik. Pada awal ada sedikit masalah grafik dan lengah masa, tetapi selepas bermain beberapa minit ia menjadi normal dan seronok untuk menggunakan peranti ini hanya untuk permua.
Sistem operasi adalah Realme UI berasaskan Android 10. Tiada yang baru di sini, jika anda biasa menggunakan Color OS dari Oppo atau Realem UI yang lain, ia adalah sistem operasi yang menarik digunakan, padat dengan ciri dan fungsi. Perkara yang saya banyak ubahsuai adalah pada tetapan paparan dan juga Realme Labs. Ia adalah antaramuka yang menawarkan banyak pilihan kustomasi.
Skrin peranti, walaupun tiada sokongan HDR ia masih boleh memainkan video HDR dengan baik. Tetapi ada video HDR 1080p 60fps, tidak boleh dimainkan dengan main. Video tersangkut-sangkut kecuali pada resolusi 720p. Kecerahan juga tidak begitu memuaskan dan di bawah cahaya matahari yang terik, skrin sangat malap dan sukar untuk dilihat.
Pembesar suara adalah mono, yang mana sangat kuat. Ia agak tajam dan bingit. Aras suara sekitar 80% ke bawah sudah baik-baik sahaja. Walaupun ada sokongan Dolby Atmos, tetapi untuk pembesar suara mono yang kualiti audionya mengecewakan – Dolby Atmos adalah gimik semata-mata.
Bateri peranti adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 30W Dart Charge. 30W ini adalah setaraf dengan OnePlus Warp 30 yang mana boleh mengecas dari 0%-100% dalam masa yang singkat. Untuk prestasi bateri, nantikan ulasan kami. Yang penting, peranti ini menggunakan USB-C.
Penanda Aras
MediaTek Dimensity 800U adalah pesaing kepada Qualcomm Snapdragon 765G. Kedua-dua cip ini adalah 7nm, menyokong 5G dan ujian awal memperlihatkan prestasi yang setanding dengan Snapdragon 845. Kami melakukan ujian asas seperti AnTuTu dan juga Geekbench 5.
AnTuTu memperlihatkan skor 304,943 yang mana adalah sedikit lebih rendah dari ujian OnePlus Nord yang saya ulas sebelum ini iaitu 328,568. Sebagai perbandingan, Realme 7 5G saya uji pada suhu yang optimum dan OnePlus Nord adalah pada suhu bilik sahaja. Jadi dakwaan Realme yang boleh mencapai sehingga lebih 340K adalah agak pelik dan saya musykil bagaimana boleh capai skor setinggi ini.
Geekbench 5 pula memperlihatkan skor 597 untuk satu teras dan 1776 untuk multi-teras. Juga skor ini adalah lebih rendah dari OnePlus Nord, tetapi tidak begitu banyak bezanya. Ini membuktikan yang cip MediaTek 800U sebenarnya berkuasa sahaja dan bersaing sengit dengan Snapdragon 765G. Cuma ini adalah MediaTek, jadi akan ada masalah dengan suhu dan tidak efisien seakan Snapdragon.
Kamera
Kamera Realme 7 5G adalah kamera yang gimik. Makro dan monokrom dilihat seakan tiada fungsi kerana kualiti gambar yang tidak kemas, jelas serta tidak begitu cantik. Warna yang lari, tiada nilai HDR, butiran juga tidak dipelihara dengan baik.
Kamera utama pula dilihat cantik, nampak natural dan mempunyai butiran yang bagus. Warna juga tajam dan cerah. Tetapi apabila mula dizum, gambar menjadi sedikit kabur dan tiada butiran yang baik. Lensa sudut ultra lebar adalah baik-baik sahaja. Ia mempunyai warna yang baik dan pemandangan yang cukup luas.
Kamera swafoto juga dilihat cukup cerah. Tetapi sayang sekali, ia terlampau lembut seakan banyak penuras dan mod kecantikan digunakan. Wajah saya seakan memakai alat solek dan butirannya tidak dipelihara dengan baik. Saya lebih gemar dengan gambar yang ada banyak butiran dan nilai HDR yang bagus.
Kamera pada Realme 7 5G ini dilihat tidak begitu hebat. Jika dibandingkan dengan OnePlus Nord, Realme tewas.
Kesimpulan
Jadi adakah peranti ini sesuai dimiliki oleh semua orang dan adakah peranti ini pencabar kepada OnePlus Nord? Ini hanyalah pandang pertama dan bukannya ulasan. Jadi banyak lagi perkara yang perlu diuji seperti bateri, video, gambar di waktu malam, panas atau tidak dan banyak lagi. Dalam ujian yang ringkas ini, kekuatan peranti ini dilihat pada prestasi.
Saya yakin yang prestasinya boleh lebih hebat. Ujian awal dilakukan apabila peranti baru sahaja selesai ditetapkan. Banyak yang berjalan di latar, penggunaan memori yang tinggi dan bateri juga lemah. Untuk situasi ini, prestasinya sebenarnya adalah bagus sekali. Ia boleh menandingi OnePlus Nord dari segi permua.
Peranti dengan Snapdragon 765g di Malaysia adalah terhad. Kita ada OnePlus Nord dan Vivo X50, OnePlus sahaja yang murah dan Vivo adalah mahal. Realme 7 5G menggunakan cip Dimensity 800U yang bersaing dengan OnePlus Nord. Jadi agak menarik untuk melihat ada pilihan lain yang mempunyai harga yang lebih kurang sama.
Realme 7 5G ini adalah untuk mereka yang gemarkan jenama Realme, yang mana adalah pilihan lebih baik dari Realme 7 yang biasa. Jika anda ingin mencari peranti Realme baharu, tidak ingin menghabiskan wang pada peranti seperti Realme X50, Realme X3 SuperZoom – ini adalah alternatif yang baik untuk prestasi dan skrin yang lancar.
Pro
- Cip yang pantas dan ada harapan tinggi
- Skrin 120Hz yang sangat lancar
Kontra
- Kamera tidak begitu cantik
- Rekaan yang bosan