Pagi ini Disney mengumumkan perkhidmatan penstriman terkini mereka iaitu Star. Star sebenarnya adalah Hulu untuk pasaran global yang menawarkan kandungan dari ABC, FX, Freeform, Searchlight, dan 20th Century Studios. Selama ini pengguna global yang ingin menikmati Hulu perlu menggunakan VPN kerana ia hanya ditawarkan di Amerika Syarikat.
Star akan ditawarkan secara percuma kepada pelanggan Disney+ di Eropah, Kanada, New Zealand dan Singapura terlebih dahulu bermula 23 Februari kelak. Pelanggan Disney+ boleh mengaksesnya jika pilihan menonton kandungan lebih dewasa diaktifkan. Di pasaran Amerika Latin pula, Star Plus diumumkan dengan kandungan dari ESPN turut diberikan bermula Jun. Dalam pengumuman yang sama, harga langganan Disney+ di negara yang boleh mengakses Star akan dinaikkan.
Menerusi Star, Disney dapat menawarkan kandungan lain milik mereka yang tidak sesuai distrim menerusi Disney+. Hari ini beberapa siri lebih matang seperti Aliens telah diumumkan untuk saluran FX. Ini membolehkan peminat global kelak menonton siri ini menerusi Star.