Dimuat-Turun Lebih 100K, Ini Adalah 8 Fungsi Menarik Pada Aplikasi Qalby

Diterbitkan pada Dis 13, 2020. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Aplikasi Qalby, yang juga dikenali sebagai Qalby App merupakan satu aplikasi gaya hidup Muslim yang merangkumi aspek kerohanian dalam memudahkan amalan kehidupan seharian. Ia dibangunkan oleh Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman dan idea untuk penciptaan adalah diinspirasikan daripada kelas tafsir Ta’leem al-Quran yang dihadirinya sekitar tahun 2018.

Sejajar dengan slogan ‘Ignite Your Heart With The Light Of Iman‘, tujuan utama aplikasi ini adalah bagi berkongsi pengetahuan dan ilmu berkaitan keistimewaan serta keindahan Islam. Sekaligus, mudah-mudahan boleh memberi manfaat kepada semua golongan masyarakat. Kami di Amanz juga sempat mencubanya sendiri. Dapat dilihat, antaramuka kelihatan cantik dan penuh dengan info berguna. Selain warnanya yang lembut, ia turut memperlihatkan susun atur yang kemas dan animasi yang menarik.

Buka sahaja muka utama, pengguna akan disajikan dengan pemberitahuan waktu waktu solat. Ia juga dilihat mudah untuk digunakan dan cukup mesra pengguna. Tidak ketinggalan, ia juga disertakan sejumlah ciri menarik buat pengguna. Antara tarikan utama yang disediakan adalah seperti di berikut :

Inspirasi Harian

Ia bertujuan memberi inspirasi kepada pengguna. Setiap hari akan terdapatnya petikan daripada Hadis atau ayat al-Quran berbeza yang akan dikongsi menerusinya. Dengan harapan, dapat memotivasikan diri sendiri untuk terus membina hubungan dan lebih mendekatkan kepada Sang Pencipta.

E-Journal

Ciri ini boleh dikatakan menarik kerana ia juga berfungsi sebagai agenda harian, mingguan atau bulanan anda. Melaluinya, anda boleh membuat perincian yang baik berkaitan aktiviti harian atau temu janji yang perlu dihadiri. Ia termasuklah jenis aktiviti, lokasi dan tarikh serta masa yang saintifik. Selain itu, terdapat juga satu lagi fungsi yang dinamakan sebagai “My Heart” yang boleh dijadikan sebagai catatan harian anda.

Pemberitahuan Waktu Solat

Aplikasi ini juga dapat bantu pengguna mengakses waktu solat dengan mudah. Melaluinya, pengguna akan dapat menyemak waktu solat dengan mudah menerusi paparan teks yang senang difahami. Selain, turut boleh menetapkan peringatan bunyi azan yang tersesuai untuk maklumat tibanya masuk waktu. Hasil semakan menerusi tetapan, ia menggunakan waktu solat yang diambil terus dari JAKIM.

Himpunan Doa & Ayat al-Quran serta terjemahan

Pengguna juga boleh temui sejumlah koleksi himpunan doa harian dan pilihan ayat suci al-Quran melalui aplikasi ini. Lebih menariknya lagi, ia turut menyertakan dua fungsi menarik di bawahnya yang dikenali sebagai Hifz dan Saved. Menerusi ciri Hifz, pengguna boleh menetapkan pilihan doa atau surah yang ingin dihafal. Seterunya, fungsi Saved pula dapat bantu memudahkan pengguna untuk menyimpan doa atau surah pilihan yang ingin dijadikan sebagai rujukan di satu masa kelak.

Lebih menariknya lagi, ia turut menyertakan pemain al-Quran untuk pengguna mendengar bacaan al-Quran bersama terjemahan. Pemain al-Quran ini boleh ditetapkan secara satu per satu atau bacaan secara terus untuk kesemua ayat di dalam surah pilihan. Ia turut menyertakan ruangan untuk pengguna mencari sesuatu ayat di dalam surah menerusi nombor untuk rujukan lebih lanjut berkaitan ayat berkenaan.

Tidak ketinggalan, himpunan doa yang terdapat pada aplikasi ini juga turut boleh dikongsi secara terus ke sejumlah platform lain. Ia termasuklah WhatsApp, Instagram, Telegram, Facebook dan banyak lagi.

Carian Arah Kiblat

Turut kelihatan, ia juga menyediakan fungsi petunjuk arah kiblat. Melaluinya, pengguna akan mempunyai akses mudah untuk carian arah kiblat. Turut dapat dilihat, ia juga menyertakan ukuran kiraan dari kedudukan Kaabah.

ILM Finder

Di bawah ciri ini, ia menyenaraikan sejumlah program atau bengkel kerohanian dan keagamaan yang boleh disertai. Melaluinya, ia akan menyatakan mengenai tarikh dan masa untuk sesuatu program tersebut berlangsung. Selain, memberi info lebih lanjut berkaitan program termasuklah terma dan syarat serta pautan untuk pendaftaran bagi mereka yang mahu sertai.

Qalby TV

Melihat pada nama, rasanya kita sudah boleh tahu apa yang dibawakan oleh fungsi ini. Menerusi Qalby TV, anda boleh temui pelbagai video dengan kandungan intipati yang berguna. Ia termasuklah doa, ceramah, ilmu tajwid dan sebagainya. Setiap video juga dilihat dipautkan secara terus daripada laman Youtube Qalby App.

Facebook Community & Instagram

Tidak ketinggalan, Facebook Community dan Instagram. Ini adalah dua ciri yang memberi akses secara terus kepada pengguna dengan laman media sosial rasmi mereka. Melaluinya, pengguna boleh melihat sejumlah kemas kini baharu yang dimuat-naik menerusi laman media sosial berkenaan secara terus daripada aplikasi. Melalui Facebook Community juga, anda boleh temui sejumlah mutiara kata motivasi Islam dan banyak lagi perkongsian yang menarik.

Penutup

Meskipun masih lagi dipertingkat ujian beta, aplikasi ini dilihat mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan pengguna . Menerusi perkongsian siaran langsung di Instagram sebentar tadi, Mizz Nina menyatakan aplikasi ini telah dimuat-turun sebanyak 120 ribu kali menerusi PlayStore dan App Store. Ia bagaimanapun akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi menjadikannya lebih komprehensif. Selain, ia juga akan dipelbagaikan lagi dengan sejumlah fungsi lain termasuk kiraan tasbih digital, petunjuk tajwid, lebih banyak himpunan doa dan sebagainya.

Muat-Turun Qalby untuk iPhone
Muat-Turun Qalby untuk Android

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami