Ocean Cleanup Memulakan Pengeluaran Kapal Penyedut Sampah Swalayar Di Malaysia

Ocean Cleanup Memulakan Pengeluaran Kapal Penyedut Sampah Swalayar Di Malaysia

Diterbitkan pada Dis 14, 2020 oleh .

Tahun lalu Ocean Cleanup memulakan operasi pembersihan Sungai Klang. Uniknya dengan kapal Interceptor mereka ialah ia mampu membersihkan sungai secara swalayar 24 jam sehari dengan kapasiti 50,000 kg sampah sehari. Kejayaan ujian di Sungai Klang kini disambung pula dengan pengeluaran Interceptor secara besar-besaran di Malaysia menerusi firma Konecranes.

Pembinaan Interceptor 005 dan 006 kini sedang dilakukan di fasiliti MHE-Demag yang merupakan anak syarikat Konecranes di Klang. Pembinaan dua lagi kapal penyedut sampah ini dijangka siap menjelang Mei 2021. Interceptor berfungsi secara swalayar dengan menggunakan bateri dan boleh dicas menggunakan panel solar pada bahagian bumbung.

Interceptor 002 yang digunakan di Sungai Klang sekarang adalah salah satu dari empat yang akan dibina dengan sasaran membersihkan 1000 sungai paling kotor di dunia menjelang 2025. Sungai Klang dipilih kerana ia adalah antara 50 sungai yang paling mencemari lautan di dunia.

Interceptor juga adalah sebahagian daripada projek Selangor Maritime Gateway di bawah kelolaan kerajaan Selangor dan diuruskan oleh Landasan Lumayan Sdn Bhd.

Selain Malaysia, sebuah lagi Interceptor sedang diuji di Indonesia.  Ocean Cleanup menghasilkan Interceptor selepas menyedari 80% sampah di laut berpunca dari sampah yang mengalir dari sungai. Setiap satu bot pembersih sungai ini menelan belanja 700,000 Euro (~RM3.25 juta) tetapi Ocean Cleanup percaya kos dalam dikurangkan dengan penghasilan secara besar-besaran.


Paling Popular