Carian
ASUS Memperlihatkan Kemaskini Intel Tiger Lake Untuk Komputer Riba ASUS ExpertBook B9
December 14, 2020 Nazrin

Siri komputer riba ASUS ExpertBook B9450 telah diperkenalkan sebelum ini sebagai sebuah komputer riba produktiviti yang bukan sahaja nipis dan ringan, tetapi juga hadir dengan kuasa pemprosesan yang cukup berkuasa.

Terkini, ASUS telah mengumumkan bahawa mereka akan mengemaskini komputer riba tersebut dengan siri cip pemprosesan Intel generasi ke-11, Tiger Lake.

Memperlihatkan spesifikasi pada laman web produk, ExpertBook B9 ini akan dikuasakan CPU Intel Core i7-1165G7, pilihan memori DDR4 sebanyak 16GB ataupun 32GB, bersama-sama dengan kemampuan untuk memuatkan dua storan SSD NVMe didalamnya.

Penggunaan cip pemprosesan Intel Tiger Lake bermakna bahawa komputer riba ini juga akan hadir dengan sejumlah ciri baru termasuklah sokongan untuk port Thunderbolt 4, jangka-hayat bateri yang ASUS katakan sangat lama, walaupun untuk komputer riba ini dan juga penggunaan cip pemprosesan grafik Intel Iris Xe yang cukup berkuasa.

ASUS ExpertBook B9 ini masih lagi mengekalkan saiz dan rekaan yang sama sebelum ini, seperti penggunaan paparan bersaiz 14 inci, penggunaan aloi magnesium yang bukan sahaja ringan tetapi juga nipis dan tahan lasak.

Komputer riba ini hadir dengan ketebalan 14.5mm sahaja, manakala beratnya pula hanyalah seringan 0.9KG.

Buat masa ini, ASUS masih belum mengesahkan lagi bilakah ExpertBook B9 dengan spesifikasi yang dikemaskini ini akan memasuki pasaran tempatan.

Komen