Google telah mula memperkenalkan mod gelap untuk pelbagai bahagian sistem operasi Android mereka, termasuklah untuk enjin carian Google Search.
Google kini dilihat sedang menguji mod gelap untuk enjin carian Google Search buat platform desktop mereka, dimana ia boleh dikatakan salah satu daripada aplikasi terakhir Google yang masih belum menerima mod tersebut.
9 To 5 Google baru-baru ini telah melaporkan bahawa Google kini sedang menguji mod gelap tersebut dengan pengguna-pengguna terpilih untuk melihat reaksi pengguna terhadap mod ini pada enjin carian tersebut.

Untuk pengguna desktop, diantara aplikasi Google yang mempunyai mod gelap ini termasuklah kesemua laman-laman YouTube dan juga Google Keep.
Dari apa yang dapat dilihat, mod gelap Google Search ini menukar logo Google daripada logo berwarna-warni ke warna putih, manakala latar belakang laman tersebut mempunyai warna kelabu gelap. Google juga memilih untuk menggunakan teks berwarna kelabu cerah dan putih, dimana pautannya dikekalkan pada warna biru.
Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi bilakah Google akan mula memperkenalkan ciri mod gelap ini untuk pengguna-pengguna lain.