Siri komputer riba yang dikuasakan CPU AMD Ryzen 5000 dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 dijangka akan tiba pada awal tahun hadapan, dimana kesemua syarikat-syarikat teknologi terkemuka akan diperlihatkan di acara CES 2021 kelak.
ASUS, sebuah syarikat teknologi yang tidak asing lagi nampaknya akan memperkenalkan sebuah komputer riba gaming yang cukup berkuasa melalui siri TUF Gaming mereka.
Ia telah tertiris bahawa model ASUS TUF Gaming FA706QM akan menjadi diantara komputer riba pertama yang akan menggabungkan cip pemprosesan AMD Ryzen 5000 bersama-sama dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000.
Melalui kedai atas-talian dari negara Jerman Expert.de, komputer riba ini ialah ASUS TUF Gaming A17 dan ia dilengkapi dengan CPU AMD Ryzen 7 5800H, memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan SSD NVMe sebesar 512GB. Dari segi pilihan GPU, model yang diperlihatkan nampaknya ialah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 dengan 6GB memori GDDR6.
ASUS TUF Gaming A17 ini juga hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 17.3 inci dengan resolusi Full HD dan juga kadar segar semula 144Hz.
ASUS dijangka akan memperkenalkan sejumlah komputer riba yang dikuasakan komponen-komponen baru oleh AMD, Intel dan NVIDIA tidak lama lagi.
Jika spesifikasi tertiris ini adalah benar, ia boleh menjadi pilihan baru untuk mereka yang ingin memiliki sebuah komputer riba gaming yang bukan sahaja berkuasa, tetapi mungkin hadir dengan tanda harga mampu milik tidak lama lagi.