Cari @ Amanz

Amazfit GTR 2 dan GTS 2 baru sahaja dilancarkan sekitar bulan September lalu dan ia telah ditawarkan di Malaysia pada harga RM699. Terkini, mereka dilihat memperluaskan lagi penawaran di bawah siri ini dengan memperkenalkan Amazfit GTR 2e dan Amazfit GTS 2e pula.

Secara keseluruhan, kedua-dua jam tangan ini dilihat berkongsi spesifikasi dan rekaan yang sama seperti pendahulunya. Tetapi sedikit berbeza untuk ketahanan bateri dan penawaran harga juga lebih rendah. Selain itu, ia juga dikatakan tidak lagi dilengkapi sokongan Wi-Fi seperti yang terdapat pada model sebelum ini.

Kita mulakan dengan Amazfit GTR 2e terlebih dahulu. Ia dilengkapi skrin bersaiz 1.39-inci AMOLED dengan resolusi 454 X 454. Bateri disertakan adalah sebesar 471mAh dengan ketahanan sehingga 24 hari dalam mod penggunaan harian atau sehingga 45 hari dalam mod penggunaan asas. Ia juga menawarkan perlindungan kalis air 50 meter. Selain, menyokong sejumlah sensor penjejak kesihatan dan mod sukan yang berbeza. Spesifikasi lain termasuk sokongan NFC, Bluetooth 5.0 BLE, sistem penilaian kesihatan PAI dan banyak lagi.

Seterusnya ialah Amazfit GTS 2e. Ia mempunyai skrin 1.65-inci AMOLED dengan ketumpatan piksel 341 ppi. Dari segi fungsi, ia juga dilengkapi sejumlah sensor terbina untuk pemantauan kesihatan, dilengkapi mod sukan berbeza dan sistem penilaian kesihatan PAI. Bateri yang disertakan adalah sebesar 246 mAh dengan ketahanan sehingga 14 hari dalam mod penggunaan harian atau sehingga 24 hari dalam mod penggunaan asas. Spesifikasi lain termasuk perlindungan kalis air 50 meter, NFC, Bluetooth 5.0 BLE dan sebagainya.

Untuk penawaran harga, Amazfit GTR 2e dan GTS 2e dijual pada harga RMB799 (~RM495) seutas.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd