Huawei telah menjadualkan acara pelancaran untuk siri Huawei Nova 8 pada 23 Disember ini. Namun, mereka dilihat masih berteka-teki mengenai rekaan pada peranti. Sehinggalah kini, ia dilaporkan tertiris sepenuhnya menerusi beberapa poster tersebar. Ia bagaimanapun, bukan sahaja mendedahkan rekaan pada panel belakang sahaja. Sebaliknya, rekaan pada panel hadapan juga.

Melaluinya, ia memperlihatkan peranti hadir dengan modul kamera berbentuk bujur bersama sensor utama bersaiz besar yang dilihat menjadi titik fokus pada modul berkenaan. Kemudian, ia diikuti juga dengan tiga lagi sensor lain dan satu LED Flash sebagai pelengkap. Jika diteliti, susunan lensa ini seakan menyerupai model Xiaomi Mi 10T. Tetapi, hanya berbeza dari segi rekaan modul kamera.

Seterusnya, turut dapat dilihat panel hadapannya menggunakan skrin sejenis melengkung bersama sokongan dwi-kamera swafoto. Selain itu, peranti ini turut disahkan hadir dengan sokongan skrin dengan kadar segar semula 120Hz, pengecasan pantas 66W dan ciri yang dipanggil mod Vlog untuk penggambaran lebih baik.
Berdasarkan semua ini, kita boleh menyasarkan poster ini adalah gambaran untuk Huawei Nova 8 Pro. Ia berikutan, maklumat yang ada seakan mengiyakan spesifikasi peranti yang tersebar sebelum ini. Tapi seperti biasa, segalanya bakal terjawab pada pelancaran rasmi kelak.