Tidak seperti Apple, Samsung dan Huawei, Google masih tegar untuk hanya menyertakan dwi-kamera pada peranti Pixel mereka. Kesemua kemampuan kamera hebat dinikmati menggunakan perisian sahaja yang bergantung kepada kecerdasan buatan. Minggu lalu Google akhirnya berkongsi imej rig kamera yang digunakan untuk melatih kecerdasan buatan perisian mereka.

Rig terdiri daripada 64 kamera dan 331 lampu LED bagi memberikan pencahayaan hampir 360 darjah dari semua arah. Gambar sebuah subjek kemudiannya akan diambil dari pelbagai sudut dan arah lampu sebelum kemudiannya digunakan untuk melatih kecerdasan buatan ciri Portrait Lighting pada aplikasi kamera dan Google Photos.

Untuk memastikan imej pengolahan semula lampu dari pelbagai arah lebih realistik, data dari individu pelbagai jantina, usia, bangsa, warna kulit, gaya rambut dan aksesori telahpun diambil. Dengan lebih banyak data diambil aplikasi kamera Pixel dan Google Photos juga akan menjadi bertambah baik.
Setakat ini Google membuktikan perisian mampu memberikan saingan kepada perkakasan. Yang mengecewakan hanyalah di Malaysia peranti Pixel masih belum dijual secara rasmi dan kemampuan kameranya hanya mampu dinikmati sebilangan pengguna yang berwang.