Setelah beberapa tahun ciri Touch ID dibuang daripada peranti pintar iPhone, Apple memperkenalkannya kembali pada tablet iPad Air yang baru sahaja diperkenalkan tahun ini.

Terkini, Patently Apple telah melaporkan bahawa Apple baru sahaja diberi paten untuk memperkenalkan teknologi Touch ID tersebut untuk digunakan pada peranti boleh-pakai mereka, Apple Watch.
Menariknya, paten ini difailkan bersama-sama sebuah lagi ciri baru pada peranti tersebut, iaitu untuk kamera bawah skrin yang nampaknya semakin popular dikalangan peranti-peranti pintar.

Dengan paten Touch ID ini, Apple nampaknya mempunyai pelan untuk memperkenalkan ciri tersebut dibawah butang kuasa Apple Watch akan datang mereka, iaitu cara sama fungsi tersebut diperkenalkan pada iPad Air versi terbaru.
Untuk paten kamera bawah skrin mereka pula, sama seperti teknologi sama yang diperkenalkan sebelum ini, Apple mempatenkan sebuah teknik dimana mereka akan memasang sebuah kamera di dalam sebuah lapisan OLED kedua didalam bahagian paparan dimana sebahagian lapisan pertama tersebut akan digelapkan untuk memberi akses kepada kamera apabila diperlukan.

Apple nampaknya akan mula memperlihatkan penggunaan teknologi Touch ID sekali lagi, khususnya sekarang apabila dunia dilihat masih akan perlu bertarung dengan wabak COVID-19 pada tahun hadapan.
Dengan paten kamera bawah skrin ini pula, ada yang menjangkakan bahawa ia akan diperkenalkan pada peranti-peranti lain mereka di masa akan datang, khususnya untuk peranti iPhone dimana mereka mungkin akhirnya tidak lagi menggunakan rekaan dahi yang besar untuk memuatkan sistem kamera dan pengimbas pandang hadapan mereka.